"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jeritan kakak selamatkan adik dari dirogol

ADILA SHARINNI WAHID


KOTA BHARU – Jeritan kuat seorang kakak berjaya menyelamatkan adik perempuannya dari menjadi mangsa rogol lelaki yang menceroboh rumah mereka dalam kejadian di Kampung Wakaf Tanjung Hilir, Kedai Lalat, Jumaat lalu.


Remaja berusia 18 tahun itu terlebih dahulu menjerit apabila lehernya dicekik dengan kuat oleh penjenayah yang masuk ke rumah mereka pada jam 2.50 pagi.

Ibu mereka dikenali sebagai Azizah, 45, berkata, dia baru sahaja terlelap di sebelah anak keduanya itu di bahagian dapur rumah dalam keadaan televisyen yang masih terpasang.

Katanya, anaknya yang juga penuntut sebuah kolej tersebut tiba-tiba menjerit dan sempat meronta lalu merangkul tubuh erat Azizah.

“Saya bangun dalam gelap dan berpaling ke belakang serta ternampak samar-samar bayang seorang lelaki mengacu parang ke lehernya. Saya turut menjerit, namun suara kami tidak terlalu kuat kerana ketakutan,” katanya.

Dalam masa yang sama, anak sulungnya yang berusia 19 tahun sedang berada di dalam bilik mendengar bunyi bising di dapur bertindak menjerit sekuat-kuat hatinya.

Remaja terbabit berkata, ketika itu dia belum tidur dan berada di dalam biliknya menyedari ada seseorang menutup televisyen.

“Saya berasa pelik sebab ibu biasanya akan mematikan televisyen sekitar jam 4 pagi selepas rancangan terawih di Mekah. Saya keluar melihat adik dan ibu tidur yang di dapur dan masuk semula ke dalam bilik.

“Tiba-tiba keadaan jadi gelap-gelita dan semua lampu serta kipas terpadam. Saya dengar bunyi tapak kaki dan bising suara ibu serta adik minta tolong menyebabkan saya menjerit macam orang histeria,” katanya.

Azizah berkata, mendengar jeritan kuat anak sulungnya itu menyebabkan lelaki terbabit melepaskan mangsa dan lari ikut pintu belakang dengan menggunakan motosikal, namun kemudian terjatuh kerana terkejut melihat jiran Azizah yang sedia memegang kayu.

“Kebetulan jiran saya tu baru balik ke rumah dan sedang makan sebelum terdengar jeritan anak sulungnya itu lalu mencapai kayu di hadapan rumah. Lelaki itu kemudian lari ke dalam semak di belakang rumah,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu kali ketiga berlaku ke atas mereka sekeluarga.

Sebelum ini, rumahnya pernah di pecah masuk dan dia kerugian barang kemas puluhan ribu ringgit.

“Saya tetap bersyukur anak saya selamat dan hanya mengalami luka ringan di jari tengah, calar dahi dan belakang telinga serta lebam pada leher kesan daripada cekik yang terlaku kuat,” katanya.

Katanya, penjenayah itu juga tidak sempat melarikan apa-apa barang berharga miliknya dan mendakwa suspek sudah beberapa hari mengintai mereka sebelum kejadian itu.

“Dalam dua, tiga hari ini saya dengar bunyi tapak kaki di belakang rumah. Saya bergurau bagitahu anak, Lailatulqadar sedang keliling rumah kita, rupa-rupanya penjenayah.

“Rumah saya terletak bersebelahan masjid dan di tepi masjid ada mesin air. Selain banyak kecurian duit mesin air, duit tabung masjid pun mereka curi,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Hassanudin Hassan mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan sudah menahan suspek pada 1 Syawal lalu kerana dipercayai terbabit dengan kejadian berkenaan.

“Lelaki berusia 26 tahun tersebut memiliki lima rekod lampu bersabit kesalahan dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 455 Kanun Keseksaan kerana menceroboh dan menyebabkan kecederaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun,” katanya.
-sinarharian

Tiada ulasan: