FMT Reporters
PETALING JAYA: Tiga anggota polis peronda dikenakan tindakan disiplin selepas dimarahi ketua polis negara yang mengesan mereka melangkaui kuasa dengan memeriksa seorang pendatang asing wanita.
China Press melaporkan Tan Sri Khalid Abu Bakar yang memandu bersendirian kira-kira 4.30 petang Selasa lalu, ternampak 3 anggota peronda itu memeriksa seorang pendatang asing wanita di sebuah bulatan di Semenyih, Selangor.
Beliau segera mengarahkan 3 anggota itu menghentikan pemeriksaan kerana tindakan itu melanggar prosedur operasi standard (SOP), di mana mereka sepatutnya memfokuskan tugas meronda.
Khalid kemudiannya menghubungi pegawai atasan 3 anggota peronda berpangkat lans koperal dan konstabel dan mengarahkan tindakan disiplin diambil terhadap mereka.
Akibatnya, 3 anggota polis itu diarah melakukan kawad bersenjata selama 2 jam, mulai 11 pagi hingga 1 tengah hari di Balai Polis Semenyih dan dipindahkan untuk menjaga kaunter pertanyaan selama sebulan.
Demi menjaga imej pasukan polis dan menjauhi tanggapan negatif penyalahgunaan kuasa, ketua polis negara pernah mengeluarkan arahan melarang polis peronda menahan pendatang asing tanpa izin sewenang-wenangnya.
Bagaimanapun, jika ada individu disyaki, mereka boleh melakukan pemeriksaan dan tangkapan, selepas mendapat kelulusan pegawai atasan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan