"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
JANGAN GUNA GOOGLECHROME JIKA ADA GANGGUAN MALWARE


IKLAN Hubungi: gigitankerengga@gmail.com


Kit Siang sokong Husam Musa jadi MB Kelantan selepas PRU14

FMT Reporters

PETALING JAYA: Lim Kit Siang mencadangkan Datuk Husam Musa sebagai menteri besar Kelantan, jika Pakatan Harapan berjaya menawan negeri itu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Ini dipercayai adalah kali pertama penasihat DAP itu memberi sokongan terbuka kepada naib presiden Amanah terbabit.

Lim percaya adun Salor itu boleh menjadi teladan baik untuk rakyat Kelantan dan seluruh negara.

Husam yang dianggap pilihan bekas menteri besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, adalah naib presiden PAS ketika parti Islam itu memecatnya atas dakwaan melanggar disiplin dan tatatertib parti pada Mei 2016.

Ketika itu, Husam lantang mengkritik kepimpinan PAS di bawah Datuk Seri Abdul Hadi Awang, khasnya di Kelantan.

Lim berkata demikian pada sebuah majlis sambutan Aidilfitri anjuran DAP cawangan Suara Muda, Kebun Sultan dan Gajah Mati di Kota Bharu, semalam. Beliau memuat naik teks ucapannya di blognya.

Katanya: “Seperti saya katakan dalam program ke-4 ketika majlis rumah terbuka Aidilfitri Amanah peringkat kebangsaan di Dewan Perniagaan Cina Kelantan di Kota Bharu pagi ini, angin perubahan politik bertiup kencang di negara ini, termasuk Kelantan.”

Beliau berharap sambutan Aidilfitri tahun depan bukan saja ada kerajaan pusat dan perdana menteri baru, malah akan ada kerajaan negeri serta menteri besar Kelantan yang baru.

“Saya berharap Datuk Husam Musa akan menjadi menteri besar Kelantan yang baru pada (sambutan) Hari Raya Aidilfitri tahun depan dan saya akan kembali ke Kota Bharu tahun depan untuk menghadiri rumah terbuka Aidilfitri kerajaan Kelantan Pakatan Harapan.”

Bercakap mengenai rakyat Malaysia amat memerlukan pemimpin teladan, Lim berkata: “Walaupun bekas menteri besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat ialah mursyidul am PAS, beliau juga merupakan teladan kepada rakyat Malaysia yang bukannya ahli PAS.

“Jika Husam dipilih sebagai menteri besar Kelantan selepas PRU14, beliau akan menjadi teladan baru bukan hanya untuk rakyat Kelantan, tetapi rakyat Malaysia di negeri lain juga.”

Katanya, beliau tidak dapat membayangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang namanya tercemar disebabkan skandal 1MDB, boleh menjadi teladan sesuai untuk 30 juta rakyat Malaysia.

“Saya tidak faham bagaimana Najib boleh menjadi teladan kepada Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang, sehinggakan beliau boleh mengeluarkan surat terbuka kepada parti politik pada malam Raya dan meminta semua pemimpin politik di negara ini berhenti mendesak perdana menteri bertanggungjawab terhadap 3 orang yang dikaitkan dengan 1MDB, saman kleptokrasi Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat dan skandal kleptokrasi global.”

Pada 24 Jun lalu, Hadi dilaporkan menggesa semua pihak menolak campur tangan pihak luar dalam masalah dalaman negara dengan memberi contoh kejatuhan kerajaan Melayu Islam Melaka disebabkan pihak tertentu mempelawa campur tangan penjajah.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua parti politik tidak mengulangi sejarah dengan menjemput pihak asing menyelesaikan masalah negara seperti kes Bumiputera Malaysia Finance (BMF), Perwaja Steel, Tabung Haji dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Adapun pihak lain atau kuasa asing selama-lamanya mencari peluang dan menjaga kepentingan mereka walaupun mengorbankan kita. Cukuplah kita dijajah sehingga beberapa abad dengan kesannya masih belum sembuh.”

Tiada ulasan: