"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Perlembagaan rakyat Malaysia - Dr Mahathir Mohamad

Negeri-negeri di Malaysia menjadi tanah jajahan British selepas Triti (atau perjanjian) MacMichael ditandatangani. Malayan Union akan diperintah sepenuhnya oleh British. Orang-orang Melayu tidak lagi mempunyai tuntutan terhadap negeri-negerinya. Tiada lagi Tanah Melayu.

Orang Melayu bangkit bersatu menentang. Perpaduan itu menyebabkan British terpaksa memansuhkan semua Triti MacMichael. British setuju menggantikan Malayan Union dengan Persekutuan Tanah Melayu. Secara rasminya nama yang diterima ialah “Persekutuan Tanah Melayu”. Ia tidak lagi menjadi negeri naungan disebabkan triti itu.

Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu diketuai oleh pesuruhjaya tinggi sebagai ketua eksekutif, yang mengetuai Majlis Eksekutif dan Majlis Perundangan. Semua anggotanya dicalonkan oleh pesuruhjaya tinggi.

Pada 1995, British memutuskan mengadakan pilihan raya untuk 52 daripada 98 kerusi dalam Majlis Legislatif Persekutuan.

British percaya tiada satu parti akan menang lebih 49 kerusi untuk menuntut hak membentuk kerajaan majoriti.

Tetapi Perikatan Umno, MCA dan MIC menang 51 dari 52 kerusi dan berjaya menuntut hak membentuk kerajaan pemerintahan sendiri.

Sejurus selepas itu kedengaran suara-suara di kalangan rakyat dan parti dalam kerajaan untuk menuntut kemerdekaan.

Rundingan dibuat di London dan akhirnya dipersetujui Malaya akan merdeka pada 1957.

Sebagai persediaan untuk itu, Suruhanjaya Reid ditugaskan merangka perlembagaan persekutuan yang merdeka.

Malaya dipersetujui menjadi negara demokrasi yang rakyat bebas memilih kerajaan. Raja-raja akan menjadi ketua berperlembagaan tanpa kuasa eksekutif. Kedudukan mereka akan dijamin oleh perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi dalam negara.

Parti yang memenangi pilihan raya akan menamakan perdana menteri (atau menteri besar) dan ketua berperlembagaan akan merestuinya.

Jika raja berperlembagaan menolak merestuinya dan mencalonkan serta merestui calon sendiri, parti pemenang boleh menolaknya dalam dewan, melalui undi tidak percaya.

Undang-undang tubuh Johor dan Terengganu yang diisytiharkan sebelum itu terbatal dengan perlembagaan baru yang diterima oleh semua negeri-negeri di Malaysia. Pada 9 Mei 2018, rakyat Malaysia mengundi untuk memilih kerajaan (Persekutuan) Malaysia dan kerajaan negeri-negeri.

Penting untuk semua orang menghormati perlembagaan dan patuh padanya. Gagal berbuat demikian akan menidakkan kedaulatan undang-undang.

Tiada ulasan: