"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Himpunan PAS, Umno semalam jadi bahan lawak'

Penyertaan pemimpin Umno dan PAS dalam Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam di Kuala Lumpur semalam disifatkan sebagai hipokrit demi kepentingan politik parti masing-masing dengan mempergunakan nama Islam.
Naib Presiden Amanah, Mahfuz Omar, berkata tindakan PAS menyertai himpunan bersama pemimpin Umno yang merosakkan Lembaga Tabung Haji, Felda dan Felcra sehingga kerajaan baru terbeban dengan isu kewangan juga adalah satu bahan ketawa untuk rakyat.

"Himpunan semalam disertai pemimpin Umno yang sudah merosakkan pelbagai agensi, dan tiba-tiba PAS pun ada kononnya mahu sama-sama pertahankan kedaulatan Islam.

"Ini boleh jadi bahan lawak sebab macam mana PAS boleh bersama dan bersekongkol dengan Umno?

"Dulu PAS bukan main mahu jatuhkan kuasa dan pemimpin Umno tetapi sekarang boleh pula bawa Datuk Seri Najib Razak ke Kompleks Pas di Kota Sarang Semut baru-baru ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bazar Peduli Rakyat di Dataran Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) di Alor Setar hari ini.

Beliau mengulas mengenai himpunan yang berlangsung di hadapan pusat beli-belah Sogo, Kuala Lumpur yang kononnya bertujuan bagi menyatakan kekesalan susulan beberapa insiden menghina Islam, Melayu dan institusi raja-raja dan kedaulatan perlembagaan.

Dalam perkembangan lain, Mahfuz yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata pihaknya masih menunggu laporan daripada Amanah Sabah berhubung isu sekumpulan lelaki memakai baju dengan logo Amanah mengedarkan risalah berkaitan calon bebas pilihan raya kecil Sandakan, Hamzah Abdullah.

"Buat masa ini, saya tak dapat laporan lagi, jadi kita kena tengok betul atau tidak ahli tersebut benar-benar orang Amanah atau hanya sekadar pakai baju ada logo parti.

"Kalau ia benar, kita akan serah kepada jawatankuasa disiplin untuk tentukan tindakan sepatutnya.

"Sepatutnya, mana-mana calon yang hendak bertanding perlu guna identiti parti masing-masing, takkan nak bergantung pada parti.

"Kalau betul mereka nak bawa lambang parti orang lain, nanti jangan pelik kalau orang pangkah parti yang mereka gunakan itu," katanya.

Pada 30 April lalu, Ketua Pemuda Amanah Sabah, Khairuddin Daud membuat laporan di Balai Polis Bandar Sandakan mendakwa antara empat hingga lima lelaki tidak dikenali menggunakan baju dengan logo Amanah berkempen untuk Hamzah.

Untuk rekod Hamzah merupakan bekas pengasas Amanah Sabah.
-Bernama

Tiada ulasan: