"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Peace TV milik Zakir Naik bersalah siar ucapan kebencian, apikan pembunuhan, kata Ofcom UK

FMT Reporters

PETALING JAYA: Pengawal selia penyiaran di UK mendapati saluran televisyen satelit milik Dr Zakir Naik, Peace TV, bersalah melakukan ucapan kebencian dan boleh menyebabkan lesennya ditarik balik pada saat penceramah itu berdepan dakwaan rasisme di Malaysia.

Ofcom, badan pengawal selia kerajaan UK yang mempunyai bidang kuasa luas dalam sektor penyiaran, telekomunikasi dan pos berkata, ia meneliti 5 program televisyen yang disiarkan oleh Peace TV berikutan aduan berkaitan homofobia dan pengapian jenayah.

“Ofcom memutuskan bahawa 4 daripada 5 program berkenaan melanggar tatatertib, sementara satu tidak,” kata laporan suruhanjaya itu bulan lepas yang dilihat oleh FMT.

Ofcom berkata, 4 program berkenaan didapati melanggar tatatertib penyiaran disiarkan antara November 2017 dan Mac 2018.

Katanya, 2 daripada pelanggaran itu melibatkan edisi bahasa Inggeris dan Urdu dan oleh dijatuhi hukuman “pengenaan sekatan statutori”.

Pelanggaran itu meliputi pengapian jenayah, ucapan kebencian dan layanan buruk.

Salah satu program tersebut, “Kitab-ut-Tawheed”, adalah program berbahasa Urdu yang terdiri daripada ceramah berdasarkan tulisan Muhammad Ibn Abd al-Wahab, pengasas Wahhabisme, dibincangkan.

Dalam satu episod, penceramahnya, Shaikh Ashfaque Salafi menyarankan ahli sihir dipancung.

Pemegang lesen Peace TV di UK bagaimanapun mempertahankan kenyataan tersebut.

“Program berkenaan bukanlah mengenai Harry Houdini, Paul Daniels, David Blaine dan penghibur lain yang melakukan helah silap mata untuk tujuan kewangan atau hiburan.

“Ia adalah berkaitan sihir dan penyihiran seperti yang dapat difahami oleh penonton,” kata Club TV Ltd.

Dalam program lain berjudul “Strengthening Your Family”, penyampai Imam Qasim Khan membuat perbandingan antara homoseksual dengan babi.

“Di sini 2 orang manusia mengamalkan dan cuba mewajarkan sesuatu yang tidak dilakukan oleh haiwan sekali pun. Subhanallah, ia lebih buruk daripada haiwan.

“Manusia boleh menjadi lebih buruk daripada haiwan. Paling tidak haiwan mempunyai kehormatan untuk mengehadkan nafsu mereka, nafsu seks mereka kepada jantina yang berlainan.

“Manusia kadang-kala hilang kewarasan dan cuba mewajarkannya, selain mempunyai keberanian melampau untuk mengaplikasikan agama terhadap amalan yang tidak waras dan berdosa itu.

“Homoseksual Baptis, homoseksual Methodis, homoseksual Katholik, homoseksual Yahudi dan kini homoseksual Muslim. Itu sangat tidak waras. Apakah yang boleh kita lakukan mengenainya?,” laporan penyiasatan Ofcam memetik Qasim.

Dalam pembelaan yang dikemukakan kepada Ofcom, Club TV berkata, saluran itu ditujukan kepada orang Islam “dengan penekanan khusus mengenai pengajaran bagaimana untuk menjalani kehidupan beragama selari dengan ajaran agama”.

Ia berkata, justeru penonton sememangnya menjangka penceramah mempunyai pandangan tegas mengenai homoseksual.

Ofcom berkata, ia tidak berniat menghalang hak kebebasan bersuara penceramah agama, termasuk hak untuk menyoal kepercayaan lain yang boleh “menyinggung, mengejutkan atau mengganggu”, dengan berkata, ia dilindungi di bawah perlembagaan Britain.

“Bagaimanapun, apabila menyampaikan bahan sebegini, penyiar mesti mematuhi semua peraturan tatatertib berkaitan, termasuk Peraturan 3.1 (larangan bahan yang boleh mengapikan jenayah); Peraturan 3.2 (ucapan kebencian yang mesti diwajarkan oleh konteks); Peraturan 3.3 (bahan yang mengandungi layanan buruk atau menghina terhadap individu, kumpulan, agama atau komuniti tidak boleh disiarkan di televisyen),” kata Ofcom.

Peace TV, yang disiarkan dari Dubai, merupakan sebahagian daripaya empayar perniagaan Zakir Naik yang kini disiasat di India, Bangladesh dan Sri Lanka.

Zakir yang mendapat perlindungan di Malaysia kini disiasat oleh polis berikutan beberapa kenyataan beliau yang didakwa mengapikan sentimen perkauman.

Penceramah itu, yang juga berdepan pertuduhan pengubahan wang di India berkata, beliau merupakan mangsa kempen memburuk-burukkan oleh ekstremis Hindu di India.

Tiada ulasan: