"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Apa akan jadi jika tubuh ‘kerajaan baharu’ tanpa AMANAH dan DAP?

DALIA ISMAIL
Beberapa minggu lalu sudah tersebar desas-desus kononnya Umno-BN berusaha untuk menubuhkan ‘kerajaan baharu’ bersama Bersatu, Pas dan PKR tanpa penyertaan AMANAH dan DAP.

Bekas Naib Presiden Umno yang juga Ahli Parlimen Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Hussein dikatakan sebagai ‘jurugegas’ untuk melaksanakan kempen antara Umno dan kompnen PH untuk mewujudkan kerajaan baharu itu.

Bagaimanaupun reaksi Hishamuddin dalam kenyataan di Parlimen semalam menafikan beliau sebagai penggerak kepada kempen tersebut dan menganggapnya sebagai dakwaan tidak berasas. Itupun setelah idenya dibocorkan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa menerima maklumat berhubung kempen itu menerusi Hishammuddin sendiri.

Pada Selasa Majlis Setiausaha PH yang dianggotai empat komponen parti sebulat suara pula menolak ide kerajaan baharu momokkan Hishamuddin itu dan menyatakan pendirian bersama untuk kekal dalam PH.

Bagaimanapun Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam kenyataan balasnya mengenai isu kerajaan baharu ini melemparkan kata-kata: ‘Umno-Pas boleh cuba sertai PH’

Apakah yang akan berlaku sekiranya Umno-Pas menyertai PH tanpa penyertaan AMANAH dan DAP dalam ‘kerajaan baharu’ yang dibayangkan oleh pimpinan Umno ini?

Ikuti pandangan Dr Mazlan Ali dari Bahagian Politik dan Dasar Awam FTIR, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ini ketika diajukan pertanyaan oleh Pengarang Berita Dalia Ismail mengenai isu kerajaan baharu idaman Umno ini, jika ia berlaku dalam negara.

Malaysia Dateline (MD): Desas desus wujudkan kerajaan baharu yang menolak penyertaan DAP dan AMANAH, agaknyalah jika benar berlaku, bagaimana situasi kabinet dan corak pemerintahannya? dan parti mana yang akan dilantik bagi memimpin negara sebagai PM dan TPM kelak?

Dr Mazlan Ali: Idea ini jika betul-betul mahu direalisasikan ia boleh berlaku tetapi tetap mencabar dan rapuh.

Ini kerana gabungan baru berasaskan Melayu ini hanya boleh mengumpulkan sekurang-kurangnya 95 Ahli Parlimen solid Melayu dari Umno,Bersatu, Pas, dan sebahagian PKR, kecuali parti-parti dari Sarawak menyokong gabungan kuasa Melayu ini.

Kerajaan yang boleh dibentuk masih rapuh dan tidak stabil.Kabinet yang dibentuk pasti didominasi Melayu dengan Tun Mahathir Mohamad kekal sebagai PM dan TPM datang dari Umno. Pemimpin-pemimpin utama dari Bersatu, Umno dan Pas akan menduduki jawatan menteri kanan dalam kerajaan baru itu.

MD: Bagaimanakah proses mudah jika kerajaan baharu ini mahu dibentuk? Bubar parlimen dan pilihan raya atau lompat parti?

Dr Mazlan Ali: Lebih mudah dengan membentuk kerajaan baharu melalui lompat parti. Kaedah bubar parlimen tidak sesuai kerana sangat berisiko besar dalam suhu politik yang panas dan dalam keadaan memuncaknya isu-isu perkauman. Selain itu akan wujud kesukaran dari segi perundingan dan simulasi penentuan pembahagian kerusi antara parti-politik Melayu yang ada.

MD: Bagaimana dengan kesan politik terhadap kewujudan kerajaan baharu terhadap pelabur, ekonomi dan rakyat di negara ini jika ia berlaku?

Dr Mazlan Ali: Sekiranya kerajaan baharu benar-benar berlaku, negara akan bakal hadapi krisis sosial, ekonomi dan politik.

Imej Malaysia akan teruk tercalar di mata antarabangsa kerana pembentukan kerajaan melalui pintu belakang (lompat parti) akan mengambarkan sikap dan budaya ahli politik yg korup.Manakala jika berlaku pilihan raya boleh mencetuskan persepsi ketidakstabilan politik di Malaysia.

Ini akan menyebabkan pelabur akan lari dan dengan persepsi dunia bahawa Malaysia sebuah negara perkauman (pembentukan kerajaan bersasaskan Melayu dalam sebuah negara majmuk), keadaan akan lebih buruk bagi Malaysia.

MD: Apakah pandangan peribadi Dr Mazlan sendiri kononnya wujud (kempen) Umno untuk wujudkan kerajaan baharu ini? Adakah Umno mahu kembali berkuasa menerusi Bersatu-Pas atau semata-mata untuk memecah belahkan kekuatan PH?

Dr Mazlan Ali : Pandangan saya, kempen Umno (jika benar) akan mewujudkan kerajaan baru mungkin disebabkan tekanan berat yang dihadapi pemimpin Umno dan BN yang terpalit dengan kes-kes rasuah.

Dua pemimpin tertingginya terpalit dengan puluhan pendakwaan kes rasuah di mahkamah sementara berpuluh-puluh lagi didapati oleh PDRM terbabit menerima dana 1MDB yang menyebabkan Umno berisiko diharamkan. Dengan pembentukan kerajaan baharu bersama Bersatu dan Pas itu, Umno mungkin akan dapat mengubah situasi yang dihadapi Umno kini.

Keadaan berbeza bagi Pas di mana parti ini sering mengulangi bahawa mereka menhormati pilihan rakyat dan mandat yang diberi kepada kerajaan PH dan Pas tidak berminat menubuhkan kerajaan melalui saluran pintu belakang (lompat parti) kerana ia adalah perbuatan khianat amanah rakyat dan mencemari demokrasi.

Sewaktu krisis politik Terengganu sebelum PRU-14 misalnya, walaupun bekas MB Datuk Seri Ahmad Said dan dua wakil rakyat Umno yang lain keluar parti, Pas tidak mengambil kesempatan menubuhkan kerajaan baru dengan penyertaan 3 wakil rakyat Umno yang melompat parti.

MD:Trend parti atau kepimpinan berasaskan kaum dan agama ini adakah masih lagi dilihat relevan dalam kerajaan PH?

Dr Mazlan Ali: Cummunal cleavages (politik perkauman dan agama) masih releven dalam politik Malaysia. Namun dalam PH, darjah perkauman adalah lebih rendah berbanding BN dan Pas.Dalam kerajaan baru PH, pemerintahan masih dalam aturan yang ditetapkan perlembagaan di mana hak-hak Melayu dan bumiputera terus kekal terpelihara.

Pada masa yang sama hak-hak bukan Melayu yang dijamin perlembagaan juga dipelihara. Di bawah kerajaan PH, kekayaan dan kemakmuran negara dikongsi bersama rakyat berbilang kaum.

Tiada ulasan: