"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Dulu Tuan Ibrahim suruh Najib, Rosmah isytihar harta'

Haspaizi Zain
Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail hari ini mengingatkan Tuan Ibrahim Tuan Man berkenaan cabaran timbalan presiden PAS itu agar Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor untuk mengisytiharkan harta beberapa tahun lalu.

"Pada tahun 2015 Tuan Ibrahim cabar Najib dan Rosmah isytihar harta, kalau 2015 Tuhan tak suruh, kenapa anda (Tuan Ibrahim) suruh (Najib dan Rosmah) isytihar harta.

"Tuan Ibrahim kata Tuhan tak suruh isytihar harta, saya ada 'khilaf' (beza pendapat) bab ini, saya tolak (pendapat Tuan Ibrahim), Islam pentingkan integriti," katanya ketika ditemui pemberita di program di Putrajaya hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Tuan Ibrahim semalam bahawa langkah mengisytiharkan harta akan menjejaskan keselamatan harta dan individu yang berbuat demikian, serta menimbulkan rasa dengki terhadap pihak lain.

Tuan Ibrahim yang juga anggota parlimen Kubang Kerian berkata hadis ada menyebut: "Tuhan bagi kamu harta, jangan kamu heboh kepada orang ramai kerana dengki orang ramai".

Pada 2015, Tuan Ibrahim mengemukakan cabaran itu pada Najib dan Rosmah susulan laporan Wall Street Journal berkenaan wang berbilion ringgit dalam akaun peribadi bekas perdana menteri itu.

Ketika itu Tuan Ibrahim berkata langkah itu merupakan respons paling berkesan terhadap dakwaan tersebut serta menangani persepsi negatif terhadap Najib.

Saifuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata pembangkang sepatutnya melihat falsafah di sebalik usul pengisytiharan harta.

"Antara komitmen kerajaan baru ialah untuk menjadi lebih intergriti dan menghapuskan rasuah di semua peringkat.

"(Langkah) Mengumumkan harta supaya rakyat boleh tahu di kalangan pemimpin politik yang diundi, ada atau tak usaha hendak memerangi rasuah," katanya lagi.

Bagaimanapun Tuan Ibrahim hari ini berkata semua anggota parlimen PAS akan mengisytiharkan harta selepas usul tersebut diluluskan di Dewan Rakyat semalam.

“Kita PAS tidak bantah pun isytihar harta tapi yang kita tidak setuju ialah cara usul itu dibentangkan.

“Jika serius mengapa tidak dijadikan undang-undang atau sebahagian daripada Akta SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia)," katanya.

Sementara itu, Saifuddin memaklumkan pelaksanaan subsidi bersasar untuk petrol RON95 akan dilaksanakan tahun ini.

Katanya, kementeriannya telah berbincang dengan Kementerian Kewangan dan hasilnya akan dibawa ke peringkat kabinet untuk mendapat maklum balas daripada kementerian lain.

"Kita dalam fasa akhir rangka memo jemaah menteri iaitu tentang subsidi bersasar Ron95...Jika diberi lampu hijau kita berhasrat untuk mula melaksankannya tahun ini," katanya.

Tiada ulasan: