"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ada apa di rumah Shafie menjelang angkat sumpah KM Sabah

Kow Gah Chie

Warisan Plus mungkin telah tewas PRN Sabah pada Sabtu lalu tetapi gabungan itu seakan enggan mengaku kalah.

Kediaman rasmi ketua menteri sementara Mohd Shafie Apdal di Kota Kinabalu kelihatan sibuk.

Presiden Warisan telah bertemu dengan para Adun gabungan itu sejak pagi tadi.

Apabila beliau keluar selepas mesyuarat selama tujuh jam itu, Shafie enggan mengulas isi perbincangannya.

Beliau ditanya mengenai keputusan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menamakan Ketua Bersatu Sabah Hajiji Mohd Noor sebagai ketua menteri baru.

Bagaimanapun, Shafie hanya senyum dan melambai ke arah penyokongnya.

"Terima kasih atas sokongan," kata Shafie kepada penyokongnya yang berkumpul di kediaman rasmi itu sejak pagi tadi.

Ditanya mengenai langkah Warisan seterusnya, Shafie berkata: "Kami akan berkhidmat."

Warisan Plus, yang terdiri daripada Warisan, Pakatan Harapan dan Upko, menang 32 kerusi dalam pilihan raya Sabtu lalu berbanding Gabungan Rakyat Sabah, yang terdiri daripada Perikatan Nasional, BN dan PBS, yang meraih sejumlah 38 kerusi.

Selebihnya tiga kerusi dimenangi oleh calon bebas.

Sekiranya Shafie merancang kudeta, apapun kira-kiranya, ia memerlukan parti atau Adun daripada GRS untuk berpaling tadah.

Mana-mana parti GRS yang berpihak kepada Shafie boleh mengacaukan kerajaan persekutuan kerana mereka juga sebahagian daripada gabungan Perikatan Nasional (PN) yang menguasai Putrajaya.

Pada masa sama, para pemimpin Pakatan Harapan pula sedang berkumpul di Petaling Jaya.

Hajiji dipanggil angkat sumpah di istana, esok

Kepimpinan tertinggi PH dijangka membincangkan cubaan Presiden PKR, Anwar Ibrahim untuk mengambil alih Putrajaya.

Anwar pada 23 September mendakwa beliau memiliki majoriti di Dewan Rakyat untuk menggantikan kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Putrajaya.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi telah mengesahkan "ramai" ahli parlimen Umno yang menyokong usaha Anwar itu.

Muhyiddin hanya ada sokongan 113 ahli parlimen daripada 222 anggota Dewan Rakyat.

Jika dua sahaja ahli parlimen berpaling tadah maka mencukupi untuk Muhyiddin kehilangan majoriti.

Bagaimanapun, terdapat kesangsian terhadap Anwar memandangkan beliau pernah membuat pengumuman serupa pada tahun 2008, tetapi tiada apa-apa yang terjadi ketika itu.

'Bung terpaksa' beri laluan

Dalam perkembangan berkaitan, Hajiji dipanggil ke istana Sabah yang mana beliau mendapat undangan untuk upacara mengangkat sumpah sebagai ketua menteri baru esok.

Hajiji dipilih sebagai calon ketua menteri GRS selepas kebuntuan selama dua hari.

Sebelum ini, Umno mahukan ketua partinya Sabah, Bung Moktar Radin sebagai ketua menteri.

Zahid Hamidi memberitahu Malaysiakini bahawa Bung "terpaksa" memberikan persetujuannya supaya Hajiji menjadi ketua menteri baru Sabah.

Keadaan masih boleh berubah-ubah untuk hari-hari akan datang buat kerajaan Sabah dan juga persekutuan, memandangkan para pemimpin pusat serta negeri sedang bertemu.

Spekulasi SD sokong Shafie

Sementara itu, Ketua Pemuda Warisan Azis Jamman menafikan laporan para Adun menandatangani akuan berkanun (SD) menyokong Shafie menjadi ketua menteri.

"Tidak ada," katanya sebelum meninggalkan rumah Shafie.

Ketika ditanya jika Warisan sudah mengaku kalah, beliau kelihatan mengelak memberikan jawapannya.

"Tak taulah, tak ada, kita tunggu, tiada komen.

"Kita tunggu siapa angkat sumpah, saya pun tak tau siapa angkat sumpah," kata Azis.

Pengerusi Lembaga Kebudayaan Sabah Ismail Bungsu pula dipetik The Star berkata para Adun yang berkumpul di rumah Shafie menandatangani SD tersebut.

Bagaimanapun, Ismail yang juga pemimpin Warisan berkata tidak pasti berapa SD yang dapat dikumpulkan oleh Shafie.

Tiada ulasan: