Shahbudin Husin
Kalau diadakan pungutan suara di kalangan ahli-ahli UMNO tentang kerjasama dengan Bersatu dalam PRU15 akan datang, rasanya tidak sampai 10 peratus yang bersetuju.
Begitu juga kalau diadakan pungutan suara tentang perlukah UMNO berkongsi kerusi dengan Bersatu, terutama di kawasan yang biasa ditandingi parti itu, agaknya hampir tidak ada yang setuju dengan perkara itu.
Meskipun Bersatu kini mengetuai kerajaan PN dengan Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, nyawa parti itu dalam PRU akan datang banyak bergantung kepada ihsan UMNO.
Tanpa kerjasama dan sokongan, lebih-lebih lagi murah hati UMNO untuk bertoleransi dari segi pembahagian kerusi, Bersatu tiada ruang lagi untuk menghirup udara segar dalam perjalanan masa depannya.
Bersatu ini hanya umpama bunga teratai – gah di permukaan tetapi akar umbinya tidak pun mencengkam tanah.
Dalam PRU14 lalu, mereka banyak bergantung kepada jentera parti PKR dan DAP dan dalam PRU akan datang, mereka mengharap menumpang jentera parti UMNO dan Pas pula.
Itulah Bersatu, lebih-lebih lagi Muhyiddin yang menerajui Bersatu tidaklah mempunyai aura seperti Tun Mahathir Mohamad ketika PRU14 lalu.
Pendirian UMNO terhadap Bersatu ketika ini amat jelas iaitu mereka menyokong Muhyiddin dan berada dalam kerajaan PN hanyalah sehingga penggal Parlimen PRU14 ini berakhir saja.
Untuk PRU15, UMNO hanya mahu komited dalam kerjasamanya dengan Pas dalam Muafakat Nasional atau MN dan sebab itulah UMNO menolak untuk menyertai gabungan PN secara rasmi.
Dengan keadaan ini, walaupun Muhyiddin telah mendaftarkan PN, kedudukan Bersatu masih lagi terumbang-ambing kerana jika UMNO menolak untuk bertoleransi dalam soal kerusi, parti itu tiada peluang lagi untuk terus bernyawa.
Berikutan PRN Sabah yang memperlihatkan Bersatu tidak menghormati UMNO di mana sejak awal Muhyiddin telah menamakan Hajiji sebagai Ketua Menteri, walaupun parti itu hanya serpihan UMNO, kemudian cuba memungkiri janji pengagihan kouta menteri kepada Bung Mokhtar Radin, nyata bahawa Bersatu bukanlah rakan yang baik untuk berkongsi kuasa.
Sepatutnya sejak awal lagi Bersatu menghormati kedudukan UMNO yang lebih besar dan ramai Ahli Parlimennya pula menyokong Muhyiddin, namun Muhyiddin seperti memperlekehkan UMNO dengan mengumumkan nama Hajiji sebagai Ketua Menteri tanpa sebarang perundingan dengan UMNO.
Kini, selepas PRN berakhir, nampaknya ramai pemimpin UMNO makin sedar mereka bukan saja sedang dipermainkan oleh Bersatu, malah bakal “dibunuh” masa depannya jika terus bersama parti itu.
Presiden UMNO, Zahid Hamidi, Timbalan Presiden, Mohamad Hasan dan lain-lain pemimpin kanannya mula bersuara tentang hala tuju baru yang mahu dilalui untuk menghadapi PRU akan datang.
Tindakan UMNO tidak menyertai PN adalah suatu tindakan yang betul, tetapi ingin terus berada bersama Bersatu sehingga PRU akan datang, barangkali bukan suatu keputusan yang tepat.
Ini kerana selama tujuh bulan bersama selama ini jelas menampakkan Bersatu ingin membolot, menguasai dan melemahkan UMNO melalui kuasa yang terkumpul di tangan Muhyiddin dan beberapa menteri kanan daripada Bersatu yang rapat dengan Perdana Menteri seperti Hamzah Zainuddin dan Azmin Ali.
Jika lebih lama bersama, UMNO akan terus dilemah serta hubungannya dengan Pas juga akan dipecah-perintahkan yang tujuan akhirnya ialah agar Bersatu terus unggul menguasai kerajaan untuk tempoh yang lebih lama.
Dalam hal ini, UMNO tidak harus berlengah lagi dan mesti cepat keluar daripada kerajaan PN, tidak kira sama ada dengan menyokong Anwar Ibrahim membentuk kerajaan baru atau supaya pilihanraya semula dapat diadakan segera.
Yang penting, keluar daripada kerajaan PN dan menarik sokongan terhadap Muhyiddin adalah pilihan yang tidak boleh dilengah-lengahkan lagi buat UMNO.
Lagi cepat bertindak, lagi cerah harapan untuk UMNO kembali menguasai Putrajaya seperti sebelum ini, sebaliknya bagi Bersatu pula, sekali ia sudah berjaya mengalahkan UMNO sejak PRU14 lalu, selamanya niat untuk menguburkan UMNO itu tetap membara.
Berdasarkan sokongan semasa rakyat kepada UMNO dalam beberapa PRK sebelum ini dan di PRN Sabah, tidak dinafikan ia telah pulih dan berada di tahap yang baik, maka masa depan parti itu sebenarnya lebih berkilau jika tanpa bersama Bersatu, tetapi Bersatu hampir tiada masa depan jika tiada UMNO bersamanya.
Pilihlah mana satu – mahu UMNO terus hidup atau merelakan Bersatu “mematikan” UMNO? (Shahbudindotcom 02/10/2020).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan