"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

TERKINI : Anwar telah serah senarai nama MP kepada pihak Istana Negara, tunggu diterima menghadap Agong

Klatedaily.com
Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim hanya menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menghadap bagi mengemukakan hasrat membentuk kerajaan baharu.

Ketua Whip PKR, Dato’ Johari Abdul berkata, perkara itu diketahui Istana Negara seperti yang dijelaskan sebelum ini, namun hanya menunggu kesihatan Seri Paduka lebih stabil untuk menerima menghadap.

“Tunggu istana kata okey sahaja kita terus masuk,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam sebagi mengulas perkembangan terkini kerajaan baharu yang mahu dibentuk Anwar.

Perkara itu diumumkan seminggu lalu namun semua pemimpin PKR dilihat ‘mengunci mulut’ daripada mendedahkan butiran rancangan tersebut termasuk selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), Isnin lalu.

Mengulas lanjut, Johari mendakwa, Anwar telah menyerahkan senarai nama ahli parlimen yang menyokongnya untuk membentuk kerajaan baharu kepada pihak istana.

“Dia (Anwar) dah bagi kepada Agong, saya pun tidak tahu bila dia serahkan. Cuma memang senarai itu telah diberi kepada pihak istana,” katanya.

Ditanya tentang senarai nama ahli parlimen menyokong Anwar, Johari berkata, beliau tidak mempunyai maklumat kerana bukan individu terpenting bagi mengetahuinya.

“Saya tiada keutamaan dalam hal ini, hanya seorang sahaja yang tahu iaitu Anwar. Orang lain memang tidak tahu,” katanya.

Anwar sebelum ini mendakwa kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin tumbang selepas memperoleh majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan.

Katanya, kerajaan baharu itu didakwa melibatkan gabungan ahli parlimen pelbagai parti termasuk UMNO, namun tidak menyebut berapakah jumlah majoriti yang diperoleh.

Keadaan menjadi lebih kecoh apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilihat seperti menyokong Anwar dengan menjelaskan beliau tidak menghalang mana-mana ahli parlimennya yang ingin mengikut haluan Presiden PKR.

Kenyataan Zahid itu bagaimanapun tidak senada dengan timbalan presiden parti berkenaan, Datuk Seri Mohamad Hasan yang berkata, pendirian beliau dan ahli parlimen UMNO lain tetap iaitu menyokong Perikatan Nasional (PN) dan pentadbiran Muhyiddin.

Tiada ulasan: