ALI BUKHARI AMIR
Pada zaman gerhana Pas era 1970-an, parti Islam itu mula menerima pukulan berat dan kecaman hebat daripada ahli-ahlinya kerana sikap lunak mereka terhadap parti pemerintah; BN.
Kini, tiada siapa pun yang dapat menjangkakan bahawa parti itu sekali lagi menerima nasib yang sama lantaram para pemimpinnya meneruskan lagak sikap politik yang sama selepas 50 tahun meniti era gerhana 1970-an itu.
Perlahan-lahan lahan politik Pas yang asalnya suci murni kini mula dicemari dengan berkembang biaknya sikap-sikap rakus, tamak dan haloba dengan kesuburannya tentu saja diwarisi daripada rakan sekutunya; Umno.
Bukti hadirnya sikap buruk ini yang dilihat jelas ketara, muncul dalam Muktamar Pas yang baru berlalu. Kecaman warga netizen yang meninggalkan kesan paling mendalam adalah syor untuk meraih gelaran Dato’ bagi ydp setiap kawasan.
Alasan mendapatkan gelar Dato’ bagi ydp kawasan itu pula tidak munasabah, iaitu sebagai usaha meraih kehormatan rakyat ke atas para pemimpin Pas yang berjawatan dan menyandang pelbagai gelaran itu, khususnya gelaran Dato’ yang diperolehi daripada pihak istana di setiap negeri yang Pas kini sedang memerintah.
Perwakilan Pas Wilayah Persekutuan pada asalnya menyentuh tentang kedudukan golongan yang ketiga (insan yang disifatkan sebagai kaum yang mementingkan keduniaan, kebendaan, golongan yang selalu memihak kepada parti yang menang).
“Golongan ketiga adalah orang yang mencari kebendaan. Golongan ini akan sentiasa berada di sisi parti yang menang.
“Ini kerana matlamat mereka (golongan ke-3) hanya memandang kepada manfaat yang diperolehi apabila menyokong Pas.
“Oleh itu saya mencadangkan agar semua pesuruhjaya-pesuruhjaya negeri, ydp-ydp kawasan, termasuk Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap untuk dianugerahkan gelaran Dato’ atau sebagainya oleh negeri-negeri yang kita perintah, termasuk negeri Kelantan, Terengganu dan juga negeri Kedah,” kata Pengerusi Lajnah Pendidikan Pas Wilayah itu.
Dengan nada berterus-terang tanpa berselindung, perwakilan itu berkata, gelaran Dato’ itu adalah alat untuk ~ “…kerana kita hendak menarik sokongan mereka (golongan ketiga) kepada Pas…”
Perlu diakui, tambah beliau, bahawa rakyat sangat menghormati dan teruja dengan pemimpin-pemimpin mereka apatah lagi dengan gelaran dan pangkat yang mereka miliki.
Perwakilan Pas Wilayah Persekutuan itu menutup syor dengan lafaz berbahasa Arab berbunyi…
“An-Naas ‘ala Deen Muluukihim” yang membawa makna ~ “Rakyat mengikut agama pemimpin mereka”.
Agak menarik jika kita dapat bermuhasabah dengan lebih mendalam terhadap garis-garis fikiran perwakilan Pas hari ini, di mana setiap kali ucapan muktamar seumpama musibah besar bagaikan ledakan bom atom yang melanggar Hiroshima dan Nagasaki pada hujung Perang Dunia Kedua.
Pertamanya, tidakkah ahli-ahli Pas sedar bahawa pangkat, gelaran ini pernah ditawar untuk Nabi s.a.w dan baginda menolaknya asalkan beliau tidak lagi berdakwah? Ertinya, baginda tidak minta gelaran dan berjawatan tinggi di GLC seperti Pas dambakan gelaran Dato’ demi kehormatan diri.
Memang ahli-ahli Pas boleh berkata bahawa gelaran itu bagi membolehkan mereka mendapatkan rasa hormat orang kepada mereka agar mereka kononnya lebih mudah melaksanakan dakwah.
Tetapi, tidakkah mereka sedar tentang sunnah perjuangan Nabi s.a.w memulakan dakwah dengan cemuhan dan kehinaan yang tiada berkesudahan? Bahkan, penghinaan terhadap Nabi s.a.w itu berterusan sehinggalah ke hari ini dalam media-media Barat.
Memang lumrah dakwah nabi-nabi yang ditakdirkan tiada berkedudukan terhormat sebagai ujian terhadap diri sendiri. Dan…Pas harus menginsafi bahawa beban dakwah ini banyak menanggung ujian cemuhan, hinaan berbanding kehormatan diri.
Dalam 25 orang nabi dan rasul, cuma nabi berstatus raja-raja sahaja yang seruan dakwah mereka itu tidak menanggung cemuhan dan hinaan dengan sebab kekayaan, pangkat dan gelaran mereka. Selebihnya, nabi-nabi itu terpaksa menanggung bebanan fitnah dan ujian penghinaan dan bukan penghormatan.
Nabi-nabi Ulul Azmi yang sejumlah lima orang itu pun bukan berstatus raja-raja pada awal-awal permulaan dakwah mereka itu.
Semoga ahli-ahli Pas hari ini sedar dengan beberapa kesilapan mereka dalam berfikir.
Kedua, tidak cukupkah lagi dengan darjah penghormatan yang diberikan umat selama ini dengan gelaran keagamaan? Lekeh sangatkah gelaran Ustaz, Asatizah dan Tuan Guru selama ini jika nak dibandingkan dengan gelaran Dato’? Golongan ketiga (pencinta dunia dan rapat dengan kerajaan memerintah) itu akan pandang rendah jugakah jika Tuan Guru sudah berkuasa nanti?
Adakah gelaran asatizah, panggilan ustaz dan tuan guru sudah tidak lagi menambahkan hormat golongan ketiga terhadap Pas? Golongan ini yang disifatkan sebagai kaum yang cinta keduniaan dan selalu bersama golongan menang itu pun tidak mencemuh gelaran ustaz, asatizah ini jika Pas berjaya membentuk kerajaan setelah menang dalam pilihan raya.
Jikalau ahli-ahli Pas masih mahu melihat Pas sebagai parti dakwah dan parti Islam yang berkuasa untuk terus menunaikan kewajipan dakwah, maka muhasabah diri perlu dilakukan berkali-kali.
Tidakkah Pas menginsafi bahawa kebanyakan rasul tidak diberi anugerah, pangkat, gelar bersifat keduniaan melainkan hanyalah sedikit dalam kalangan mereka yang menjadi raja-raja dan kaya-raya seperti Sulaiman, Daud, Ayub, Zulkifli?
Bukankah Tuhan memuliakan gerakan dakwah Ashabul Kahfi dengan mendahulukan sebutan kisah mereka pada awal Surah Al-Kahfi (malah nama surah itu pun diukir dengan gelaran ke atas mereka), manakala kisah Zulkarnain (raja pendakwah) diletakkan di hujung surah tersebut.
Jikalau raja pendakwah itu lebih berdarjat terhormat dibanding Ashabul Kahfi (pemuda tertindas dan ditindih di bawah lembayung kekuasaan rejim zalim tirani), tentu saja nama surah itu diabadi dengan nama Surah Zulkarnain dan perbincangan ayat darihal raja pendakwah itu akan diukirkan di bahagian awal surah itu juga.
Akhir kalam menjelang era gerhana Pas sekitar 2020-an kali ini kita sarankan ahli-ahli Pas dapat telaah semula buku tulisan bekas ahli Pas; Amaluddin Darus terbitan Harimau Press.
Buku setebal 238 halaman yang terbit pada 1977 itu turut menyorot kejadian yang sama ketika Pas di ambang gerhana seperti yang terjadi kini saat muktamar-muktamar Pas bertukar wajahnya sebagai musibah besar bagi agama, bangsa, dan tanah air.
Ali Bukhari Amir adalah pengendali Sekolah Pemikiran Kg. Baru, pengendali Sekretariat Mastera Samarinda (2007), dan pengendali Wacana Ilmu, Seni, dan Budaya (WISB).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan