"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Najib, Anwar pemenang besar jika belanjawan ditolak, ramal penganalisis

Robin Augustin

PETALING JAYA: Seorang penganalisis sosiopolitik meramalkan bekas perdana menteri, Najib Razak dan Presiden PKR, Anwar Ibrahim akan menjadi “pemenang terbesar” jika Belanjawan 2021 tidak diluluskan di Dewan Rakyat.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, Najib akan mendakwa beliau bertindak atas kepentingan rakyat, manakala Anwar berpeluang mengubah kerajaan.

Dalam perbahasan mengenai belanjawan, Najib menuntut kerajaan membenarkan pengeluaran “one-off” sebanyak RM10,000 daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan moratorium pinjaman dilanjutkan 6 bulan sebagai syarat untuk mendapat sokongan Barisan Nasional.

“Beliau dan Umno akan mendakwa belanjawan ditolak kerana perjuangan mereka untuk mendapatkan tawaran terbaik untuk rakyat. 

“Anwar dan PKR akan mendapat manfaat kerana mereka kini mempunyai peluang untuk mengubah lanskap politik negara dengan menjatuhkan kerajaan pimpinan Perikatan Nasional,” kata Awang Azman.

                      Awang Azman Pawi

Belanjawan memerlukan majoriti mudah untuk diluluskan dan ini akan mencabar kerajaan dengan majoriti tipis, khasnya jika ahli Parlimen Umno bersama ahli Parlimen pembangkang menolaknya.

Awang Azman berkata, kegagalan meluluskan belanjawan akan menjadi undi “tidak percaya” terhadap Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, yang perlu meletak jawatan dan menyebabkan kerajaan pimpinannya tumbang.

Tetapi, katanya, masih ada ruang untuk kerajaan berunding dengan ahli Parlimen bagi mendapatkan sokongan mereka untuk belanjawan itu.

“Berdasarkan situasi Covid-19, Yang di-Pertuan Agong tidak mungkin mengizinkan pilihan raya diadakan dan ini bermakna melantik perdana menteri baru yang mendapat sokongan majoriti.

“Tetapi, walaupun Najib dan Anwar sependapat dalam menolak belanjawan itu, bekerjasama untuk menubuhkan kerajaan ialah perkara lain dan akan bergantung kepada keadaan politik ketika itu.


Seorang lagi penganalisis yang juga bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia, Azmi Hassan berkata, Najib akan dilihat sebagai pemenang hanya dalam isu KWSP dan moratorium, tetapi masih akan didakwa bermain politik terhadap Muhyiddin.

Katanya, mereka yang menentang belanjawan itu atau berkecuali daripada menyokongnya akan dilihat mendahulukan politik berbanding kebajikan rakyat.

Beliau percaya kerajaan masih mempunyai masa dan mungkin akan berunding dengan ahli Parlimen bagi mendapatkan sokongan mereka untuk meluluskan belanjawan itu.

Katanya, sukar untuk Anwar menubuhkan kerajaan baru, walaupun jika belanjawan ditolak dan Muhyiddin meletak jawatan.

“Umno dan DAP perlu bekerjasama, itu mustahil berlaku.

“Malah, sukar untuk mana-mana ahli Parlimen membukti beliau mempunyai sokongan majoriti.

“Ini sebabnya kenapa ia mungkin berlaku walaupun jika kerajaan tumbang, Muhyiddin masih akan dilantik sebagai PM sementara sehingga pilihan raya boleh diadakan.”

Tiada ulasan: