"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Ahli Parlimen pembangkang tanpa sedikit rasa bersalah mungkir janji kepada rakyat’

TUN DR MAHATHIR MOHAMAD

Apabila cuma 13 ahli Parlimen bukan kerajaan bangun untuk tolak Belanjawan 2021, undi belah bahagi tidak dapat dilakukan kerana ia memerlukan 15 ahli.

Apabila ini berlaku, ia bermakna bahawa kerajaan yang dipilih rakyat boleh dijatuhkan di tengah jalan dan diganti dengan kerajaan pintu belakang. Pilihan raya tidak bermakna lagi.

Kerajaan yang didirikan melalui rasuah dan sogokan pada Ahli Parlimen, dan kerajaan yang korup boleh pula disokong oleh Ahli Parlimen pembangkang tanpa sedikit pun berasa bersalah kerana mungkir janji kepada rakyat.

Inilah apa yang telah berlaku di Dewan Rakyat hari ini.

Bagi saya dan semua ahli Parti Pejuang, serta beberapa ahli Parlimen yang lain, kami tetap berpegang kepada janji kami untuk menolak belanjawan seperti yang dinyatakan sebelum ini.

Apabila kami mengambil pendirian, kami tidak berganjak atas dasar amanah dan tanggungjawab kami sebagai wakil kepada rakyat.

Kami tetap dengan pendirian menentang apa sahaja bentuk rasuah dan kami berharap yang rakyat juga akan sedar dan menolak rasuah. Hanya dengan penolakan rasuah sahaja yang kehancuran negara dapat di elak.

Perasuah, penjenayah dan segala bentuk penyamun boleh membentuk kerajaan hanya dengan menggunakan wang untuk membeli undi dan wakil pilihan rakyat.

Apabila mereka yang tidak berprinsip, yang tidak berkualiti, yang sanggup menggadai amanah rakyat demi kepentingan peribadi mendirikan kerajaan, maka negara akan dijual untuk memenuhi ketamakan diri mereka.

Saya, Ahli Parlimen Langkawi, dan tiga lagi Ahli Parlimen Pejuang, Mukhriz Mahathir (Jerlun), Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) dan Shaharuddin Md Salleh (Sri Gading) tetap tidak berganjak dengan pendirian kami menolak Belanjawan 2021.

Tiada ulasan: