"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pejuang tak akan sokong Belanjawan 2021

SITI NUR ZAWANI MISCON

Ahli-ahli Parlimen Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mengambil ketetapan untuk tidak akan menyokong Belanjawan 2021 semasa hari pengundian nanti.

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, proses perbahasan yang berlangsung selama tiga minggu ini dilihat amat mengecewakan apabila tiada sebarang tanda dari pihak kerajaan untuk mendengar atau menerima pandangan yang diajukan ahli-ahli Parlimen.

Katanya, keutamaan kerajaan hanya untuk memastikan belanjawan yang mementingkan kelangsungan politik itu diluluskan segera, mengambil contoh isu kuarantin Ahli Parlimen Keningau, Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

Menurutnya, kuarantin selama 14 hari tiba-tiba sahaja tidak menjadi satu ketetapan hanya kerana kerajaan mahukan undi mereka.

“Tiba-tiba sahaja, kuarantin 14 hari yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan kepada mereka yang terlibat di dalam pergerakan dari Sabah Sarawak ke Semenanjung, tidak lagi menjadi satu ketetapan.

“Kerana apa dasar atau ketetapan ini tidak berkuat-kuasa? Ia kerana undi ahli-ahli Parlimen ini perlu kepada kerajaan untuk meluluskan belanjawan.

“Setiap perlakuan dan pertukaran dasar dan ketetapan dibuat seperti menukar pakaian semata-mata untuk kepentingan politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, sekiranya belanjawan tidak diluluskan, ia membuktikan kerajaan telah hilang keabsahan kerana tidak mempunyai majoriti yang cukup untuk meluluskan belanjawan.

Menurutnya, jika itu berlaku dan Perdana Menteri meletakkan jawatan atau menasihatkan Yang di-Pertuan Agong membubar Parlimen, proses pemilihan kerajaan baharu boleh dilakukan melalui cara selain pilihanraya.

Katanya, proses yang mungkin boleh dipertimbangkan ialah memberi peluang kepada Parlimen untuk menentulan siapakah dalam kalangan ahli-ahli Parlimen yang mempunyai sokongan majoriti.

Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa ahli Parlimen tersebut mempunyai sokongan majoriti, maka dia boleh dipilih untuk menjadi Perdana Menteri untuk menubuh Kerajaan yang baru dan berkhidmat sehingga tamat penggal pemerintahan dan tiba masa untuk pilihanraya umum ke-15 diadakan.

“Setelah kerajaan baharu ditubuh, maka kerajaan ini boleh memilih untuk membentangkan belanjawan yang baru ataupun mengambil velanjawan yang telah ditolak dan melakukan pindaan-pindaan yang telah diminta dahulu.

“Semua ini dapat dilakukan di dalam sidang Parlimen khas dan tidak akan mengambil masa yang begitu lama,” katanya lagi.

Tiada ulasan: