"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Wabak Covid-19 meletus di hospital USM, dua unit tutup'

Hariz Mohd

Sejumlah kakitangan kesihatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian, Kelantan dihantar untuk kuarantin setelah beberapa orang diuji positif untuk Covid-19, menurut sumber di hospital.

Ini telah menjejaskan operasi hospital separa kerajaan itu, dengan sekurang-kurangnya dua unit ditutup manakala beberapa wad kini beroperasi di bawah kapasiti biasa kerana kekurangan kakitangan.

Unit yang perlu ditutup itu adalah bilik bersalin di Jabatan Obstetrik dan Ginekologi (O&G) HUSM, dan Unit Bedah Dependensi Tinggi (SHDU), menurut seorang kakitangan HUSM.

"Setakat ini, bilik bersalin dan SHDU ditutup. Wad lain setakat ini masih beroperasi.

"Tetapi sekarang banyak (unit) kekurangan tenaga kerja kerana ramai kakitangan perlu menjalani kuarantin."

Difahamkan, hal ini telah menyebabkan beberapa pesakit terpaksa dipindahkan ke hospital kerajaan berdekatan di Kota Bharu.

Kakitangan HUSM, yang enggan dinamakan, memberitahu Malaysiakini mereka mendapat tahu mengenai kes positif di kalangan pekerja hospital.

Walau bagaimanapun, kakitangan tidak diberi maklumat rasmi daripada pihak pengurusan mengenai keadaan di tempat kerja mereka.

"Saya tahu ada kakitangan yang didapati positif. Namun, saya tidak mempunyai maklumat mengenai berapa ramai yang terjejas," kata salah seorang pekerja.

"Mungkin pihak pengurusan tidak mahu mencetuskan rasa panik," kata seorang lagi kakitangan yang terlibat dalam perkhidmatan kesihatan.

Sumber lain berkata salah seorang kakitangan yang diuji positif ialah seorang pakar anestesiologi.

Ini disahkan oleh salah seorang kakitangan kesihatan, yang mendakwa doktor itu mungkin mendapat virus tersebut daripada seorang pesakit.

Malaysiakini dimaklumkan oleh pemberi maklumat awal minggu ini bahawa terdapat kes positif di kalangan pelajar di kampus perubatan USM, yang mempunyai lokasi yang sama dengan hospital berkenaan.

Individu yang menghubungi Malaysiakini mendakwa 600 pelajar di kampus perlu dikuarantin di asrama mereka berikutan kejadian itu.

Untuk menguatkan dakwaan itu, sumber tersebut memberikan tangkap layar memo dalaman oleh HUSM di mana pengarahnya Dr Ahmad Sukari Halim memohon sumbangan untuk membiayai makanan harian para pelajar yang berada di bawah kuarantin.

Bagaimanapun, ikhtiar Malaysiakini untuk mendapatkan komen rasmi daripada pihak berkuasa, termasuk Kementerian Kesihatan dan pengurusan tertinggi HUSM, gagal mendapatkan perincian konkrit mengenai betapa seriusnya keadaan ini.

Pegawai perhubungan awam hospital hari ini menghantar semula kenyataan 26 November oleh Pengarah HUSM Dr Ahmad Sukari Halim, yang menyebut hanya KKM berkuasa untuk mengeluarkan makluman rasmi mengenai kes positif Covid-19.

Ketika ditanya mengenai pemberitahuan meminta derma, pegawai yang sama tidak memberikan respons pada saat artikel ini diterbitkan.

Cubaan untuk mendapatkan maklum balas secara langsung daripada Sukari tidak berhasil, kerana dia belum membalas pesanan teks yang dikirim kepadanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, tidak mengesahkan atau menafikan wabak meletus di hospital berkenaan ketika dihubungi hari ini.

"Siasatan sedang dijalankan," katanya dalam pesan teks, ketika ditanya mengenai dakwaan mengenai kes positif dan perintah kuarantin terhadap kakitangan HUSM.

Tiada ulasan: