"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Nasruddin rayu Umno usah putus persahabatan

FAZLI RADZI

Menjelang tiga hari lagi proses pengundian terhadap Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nasruddin Hassan hari ini dilihat mengeluarkan kenyataan bernada rayuan.

Hanya menyebut “sahabatku”, Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) berkenaan mengingatkan sukarnya menyambung kembali tali persahabatan selepas mudah untuk memutuskannya.

Sehubungan itu, bekas Ahli Parlimen Temerloh tersebut menasihatkan “sahabatnya” itu supaya bersabar.

“Sahabatku… Putuskan tali persahabatan itu mudah. Namun, untuk sambung kembali terlalu sukar.

“Justeru itu bersabarlah dalam persahabatan,” kata Nasruddin menerusi hantaran di Facebook rasminya kira-kira jam 1 petang tadi.

Rayuan Nasruddin itu dilihat ditujukan kepada Umno yang menjadi “sahabat” Pas dengan terbentuknya Muafakat Nasional (MN) pada Himpunan Penyatuan Ummah, 14 September tahun lalu.

Namun, ketika Pas semakin dilihat lebih dekat dengan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dan Bersatu, Barisan Nasional (BN) minggu lalu walaupun parti penyokong kerajaan hanya memberikan sokongan bersyarat kepada Belanjawan 2021.

Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak yang mewakili Ahli Parlimen BN antara lain menuntut pelanjutan moratorium pinjaman automatik selama enam bulan lagi dan pengeluaran one-off RM10,000 caruman Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai syarat sokongan.

Walau bagaimanapun, Pas menyambutnya dengan sindiran ‘syarat peminangan Puteri Gunung Ledang’ seperti dilontarkan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Veteran Umno, Datuk Mustapha Yaakub telah mengakui hubungan partinya dengan Pas iaitu rakan sekutunya dalam MN semakin renggang.

Mustapha berkata, perubahan itu berlaku apabila Pas mula mendapat tempat dalam kerajaan PN, namun mengakui hubungan antara dua parti tersebut masih elok tanpa sebarang pertelingkahan serius.

Sikap Pas yang lebih mesra Bersatu berlaku ketika Umno yang mempunyai 39 kerusi Parlimen sekali gus paling banyak dalam blok kerajaan PN dilihat terpinggir dalam Kabinet Muhyiddin.

Walhal, Bersatu dan Pas mempunyai jumlah kerusi Parlimen lebih rendah berbanding Umno iaitu masing-masing 31 dan 18 kerusi Dewan Rakyat.

Tiada ulasan: