"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Guan Eng, Mat Sabu mahu, tapi saya kata tidak pada undi belah bahagi, dedah Anwar

FMT Reporters

PETALING JAYA: Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mendedahkan pemimpin Pakatan Harapan (PH), Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu mahu undi belah bahagi dibuat terhadap Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat semalam, namun beliau meminta tidak berbuat demikian.

Dalam kenyataan hari ini, Anwar berkata langkah itu supaya Ahli Parlimen dapat meneliti secara terperinci dan mendalam keseluruhan pengumuman menteri kewangan.

“Ahli Parlimen berhak mempersoal apakah peruntukan ini adalah tambahan kepada yang telah diumum atau terhasil dari pemotongan mana-mana kementerian lain. Apakah jumlah sebenar belanjawan, serta kesan terhadap situasi kewangan negara, selain isu golongan yang masih mendambakan bantuan seperti pemandu teksi, pengusaha kantin dan ramai lagi.

“Beberapa mekanisme termasuk berkenaan pengeluaran dana dari KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) dan moratorium bank juga perlu diteliti,” katanya.

Anwar berkata, masih wujud peluang bagi pembangkang menyatakan pendirian tegas termasuk melalui undian belah bahagi di peringkat jawatankuasa dalam minggu akan datang.

Semalam, Anwar dijangka meminta Ahli Parlimen pembangkang memilih supaya menentang RUU berkenaan, namun hanya 13 Ahli Parlimen yang berdiri untuk meminta undi belah bahagi, ketika sekurang-kurangnya 15 wakil diperlukan untuk proses itu.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, dalam sejarah perjalanan Parlimen Malaysia belum pernah suatu belanjawan dipinda dengan jumlah atau dengan cara seperti itu.

“Ini adalah tanda kesediaan Perikatan Nasional melakukan apa sahaja untuk kekal berkuasa, termasuk melanggar duluan (precedent) Parlimen,” katanya. 

Tiada ulasan: