"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wanita hamil culik diri sendiri kerana hutang

Agensi
WANITA hamil ditemui dalam hutan dengan barangan bersepah. FOTO mustsharenews
WANITA hamil ditemui dalam hutan dengan barangan bersepah. FOTO mustsharenews
Bangkok: Seorang wanita hamil di Thailand dengan bantuan ceti haram, 'menculik' dirinya sendiri untuk mendapatkan wang simpanan suami bagi membayar hutangnya.

Wanita itu yang menetap di wilayah Samut Prakan, tengah Thailand, mengambil 80,000 baht (kira-kira RM10,244) daripada akaun bank suaminya, kononnya untuk bayaran wang tebusan pada kejadian 30 Mei lalu itu, lapor Thailand World Daily.

Pada hari kejadian, wanita itu memberitahu suaminya bahawa dia keluar untuk membuat salinan dokumen.

Tidak lama selepas itu, suaminya menerima mesej teks dari telefon mengatakan, jika dia mahu isteri dan anak-anaknya selamat, "jangan lapor kepada polis".

Satu video kemudiannya dihantar kepadanya menunjukkan isterinya, yang hamil lima bulan, dengan kepala ditutup beg hitam, tangan terikat, dan umpama ditinggalkan di hutan terpencil.

Selepas suami, rakan dan keluarga mencarinya tetapi tidak menemukannya, mereka melaporkan kejadian itu kepada polis.

Pada awal pagi 31 Mei lalu, dengan bantuan pegawai dan pasukan penyelamat, wanita itu ditemukan di dalam hutan di belakang bangunan usang, dalam keadaan basah kuyup dan menggeletar akibat kesejukan akibat hujan.

Dia seolah-olah panik dengan keadaan begnya terbalik dan isu kandungannya termasuk dokumen dan barangan peribadi bertaburan di atas tanah, sebelum dia dibawa ke hospital.

Wanita itu mendakwa, selepas membuat salinan dokumen, dia diikuti dua lelaki bertopeng yang mengancamnya dengan pisau, sebelum menculiknya dan mengarahkannya masuk ke dalam trak pikap dan menutup kepalanya dengan beg hitam.

Penculik itu didakwa memaksanya untuk memindahkan 80,000 baht daripada akaun suaminya dan turut mengambil kad mesin juruwang automatik (ATM) dan kad Sim.

Selepas siasatan lanjut, polis menemukan kelemahan dalam kenyataannya dan menemukan pindahan wang bank, serta resit berkaitan pinjaman di dalam telefonnya.

Selepas tiga jam disoal siasat, wanita itu akhirnya mengaku melakukan 'penculikannya' dengan bantuan ceti haram selepas gagal membayar semula pinjaman kira-kira 70,000 baht (RM8,964.27).

Demi anak dalam kandungan, suaminya meminta polis tidak mengambil sebarang tindakan terhadap isterinya.

Akhirnya, polis hanya merekodkan kejadian itu dan memberi amaran kepada wanita itu supaya menjauhi perjudian.

Tiada ulasan: