"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Cinta monyet’ punca pelajar perempuan dibuli dalam tandas

Bernama

Polis berkata suspek berusia 15 tahun menampar mangsa yang juga pelajar Tingkatan 1 kerana cemburu.
Tangkap layar video tular menunjukkan seorang pelajar perempuan dibuli dua pelajar lain.
IPOH: Polis sedang menyiasat satu video tular memaparkan kejadian buli pelajar perempuan dipercayai dari sebuah sekolah menengah di Kerian, baru-baru ini.

Ketua Polis Perak, Mohd Yusri Hassan Basri, berkata pihaknya menerima laporan berkaitan kes berkenaan hari ini oleh seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun.

“Siasatan polis mendapati kejadian tersebut berlaku sekitar 10.30 pagi 14 Jun lepas dan mangsa seorang pelajar Tingkatan 1 telah dibuli dua pelajar perempuan berusia 15 tahun.

“Kedua-dua suspek telah membawa mangsa ke tandas dan telah menampar mangsa berulang kali selain merakam video kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Yusri berkata, tindakan suspek menampar mangsa kerana perasaan cemburu suspek terhadap mangsa yang dikatakan rapat dengan teman lelaki suspek.

“Teman lelaki suspek berusia 15 tahun merupakan pelajar sekolah yang sama dan siasatan lanjut berhubung insiden ini masih diteruskan, kes diklasifikasikan bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi berhubung video itu, selain menyalurkan maklumat berkaitan di balai polis berhampiran atau Bilik Gerakan IPD Kerian di talian 05 7212222,” katanya.

Terdahulu, video berdurasi seminit 21 saat itu menunjukkan seorang pelajar perempuan dibuli dua pelajar lain sehingga tular di media sosial dan mencetus kemarahan warganet.

Tiada ulasan: