"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Nyawa jadi taruhan: ‘Mahalnya’ berbuat baik di dunia

MUHAMAD ADHAM SHADAN
Seorang lelaki maut semasa hendak membantu kereta yang terbabas di Kota Tinggi Johor pada 6 Jun lalu, manakala seorang penunggang motosikal terbunuh dilanggar kereta ketika beri laluan kepada ambulans di Padang Jambu, Melaka beberapa hari lalu.
Benarlah dunia ini sukar dijangka. Tidak kira siapapun kita, susu yang dihulur adakalanya bertukar tuba. Seringkali orang berkata, buat baik dibalas baik, buat jahat buruk padahnya tetapi sebenarnya tiada jaminan bantuan atau kebaikan yang dihulurkan akan memberi natijah baik seperti diharapkan.

Barangkali itulah ujian terbesar dalam kehidupan.

Niat kita baik hendak bantu orang, tetapi nyawa sendiri pula yang melayang. Hasrat di hati mahu berbelas ihsan sesama insan tetapi akhirnya diri sendiri yang ditimpa kecelakaan.

Bulan ini kita menelusuri beberapa situasi malang bantu orang yang ‘memakan’ diri. Tiga minggu lalu dilaporkan, niat baik seorang lelaki yang mahu membantu sebuah kereta terbabas di Kilometer 18.8, Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi, Johor bertukar tragedi apabila dia maut dilanggar pikap ketika menghulurkan bantuan tersebut.

Lelaki berusia 35 tahun itu terkorban setelah dirempuh Mitsubishi Triton ketika berada berhampiran kereta berkenaan. Lelaki tersebut maut di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan dalaman badan, manakala pemandu kereta yang hendak dibantunya itu cuma cedera ringan.

Beberapa hari lalu pula dilaporkan, tindakan murni seorang penunggang motosikal penghantar makanan memberi laluan kepada ambulans dalam kecemasan bertukar tragedi apabila dia maut dilanggar sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat Padang Jambu, Melaka.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan teruk di kepala. Sedih pula mengenangkannya.

Begitulah hidup, melakukan suatu kebaikan tidak semestinya dijanjikan kemudahan. Ada orang fikir dengan melakukan kebaikan kita akan menerima yang baik-baik sahaja di dunia, tetapi sebaliknya melakukan atau menawarkan kebaikan juga ‘mahal’ maharnya dan ada ranjaunya.

Dalam hidup kita sendiri juga sering terjadi kita cuba menyelesaikan masalah orang, tetapi tanpa disedari diri kita yang akhirnya ditimpa susah dan musibah. Dalam pekerjaan, keluarga atau kemasyarakatan, sesetengah orang mungkin pernah bersedia membantu atau bermurah hati menggantikan orang lain, tetapi tidak semena-mena berdepan dugaan luar kebiasaan.

Ingatlah, orang yang berbuat kebaikan tidak terlepas daripada ujian tatkala melakukan kebaikan. Kebaikan yang dilakukan boleh saja jadi penyebab dirinya tidak mendapat kebahagiaan.

Namun, apapun teruskanlah berbuat baik sesama insan, bukan natijah kebaikan di dunia yang menjadi ukuran sebaliknya penilaian sebenar adalah di sisi Tuhan.

Usah sesekali kita sesalkan dunia ini dan kehidupan. Tawa, tangis dan penderitaan cuma dugaan-Nya seketika di dunia fana.
Rasulullah SAW yang merupakan kekasih Allah juga menyeru kepada kebaikan dan melakukan dakwah, namun baginda berdepan ujian, rintangan dan segala macam ancaman dan penghinaan.

Firman Allah dalam ayat 7 dan 8 surah Al-Zalzalah: Maka, sesiapa berbuat kebaikan walau sekecil zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya), dan sesiapa yang berbuat kejahatan walau sekecil zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya).”

Tiada ulasan: