FMT Reporters
PETALING JAYA: Bekas Adun Nenggiri, Azizi Abu Naim, mendakwa akta antilompat tidak terpakai terhadapnya memandangkan beliau bertanding menggunakan logo PAS dengan watikah calon ditandatangani setiausaha agung parti itu walaupun menjadi ahli Bersatu.
Katanya, perkara itu sudah dijelaskan kepada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin memaklumkan telah berlaku ‘kekhilafan’ terhadap tindakan parti ke atasnya, merujuk kepada terhenti keahlian kerana tidak patuh arahan parti.
“Memang jelas kita masa PRU15, kita menggunakan logo PAS di kedua-dua pilihan raya iaitu Parlimen (Azizi juga Ahli Parlimen Gua Musang) dan DUN.
“Terbaharu, saya bertanding untuk DUN memang watikah itu ditandatangani oleh Takiyuddin selaku setiausaha agung PAS.
“Kita tidak nampak langsung kenapa Bersatu menghantar notis kekosongan yang perlunya speaker negeri (Mohd Amar Abdullah) untuk menerima notis tersebut sedangkan saya boleh isytihar pada masa itu,” katanya menurut Astro Awani.
Azizi juga memberi contoh bekas Ahli Parlimen Pasir Mas, Ibrahim Ali yang pernah bertanding bebas, namun menggunakan logo PAS.
“Jadi, pada masa itu tidak ada parti. Jadi saya boleh pastikan pada masa itu saya bukan Bersatu sebab saya menggunakan logo PAS,” katanya.
Azizi antara enam Ahli Parlimen dan Adun yang keahlian mereka dihentikan Bersatu kerana mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim serta Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.
Ahli Parlimen lain yang menyokong Anwar ialah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli) dan Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).
Adun Selat Klang Abdul Rashid Asari pula menyokong Amirudin.
Ditanya berhubung jangkaan keputusan Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul, Azizi berkata, statusnya bersama lima lagi Ahli Parlimen, kemungkinan diketahui selewatnya-lewatnya minggu depan.
Katanya, beliau sudah menerima notis daripada Johari untuk menjawab beberapa perkara dan dijangka menghantar jawapan bertulis minggu ini.
“Kita agak begitulah, kalau ikut pada notis yang kita dapat maklum maknanya parti dah hantar notis kepada pejabat speaker minggu lalu dan speaker ada masa 21 hari sebagaimana yang diberitahu, jadi kita jangka minggu depan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan