"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ular sawa batik 'tumpang' dari Subang ke Melaka

Meor Riduwan Meor Ahmad
am@hmetro.com.my
Ular sawa batik melingkar pada besi di belakang lori dalam kejadian di Plaza Tol Simpang Ampat, Alor Gajah - Foto Ihsan APM Alor Gajah.
Ular sawa batik melingkar pada besi di belakang lori dalam kejadian di Plaza Tol Simpang Ampat, Alor Gajah - Foto Ihsan APM Alor Gajah.
Alor Gajah: "Saya sangkakan plastik hitam tersangkut pada belakang lori, tapi bila nak pegang saya terkejut bila ia tiba-tiba bergerak dan kepala ular sawa batik itu tegak menghadap saya," kata pemandu lori, Mohd Sukri Mondi.

Menurutnya, dia lantas menghubungi talian kecemasan sebelum disambungkan kepada Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Sukri,35, berkata, dia tidak tahu dari mana ular itu muncul dan mengesyaki reptilia itu menyelinap ke bawah lori lima tan yang diparkirnya di tepi jalan berhampiran sungai dekat Subang, Selangor.

"Masa berhenti di RnR (Kawasan Rehat dan Rawat) Seremban tadi, tiada pula ular itu keluar dan saya meneruskan perjalanan ke Malim untuk hantar barangan minuman bagi stesen minyak Shell.

"Namun, semasa berhenti untuk ke tandas tiba di Plaza Tol Simpang Ampat, saya hairan melihat benda seakan plastik berwarna hitam melekat pada belakang lori dalam keadaan cahaya lampu yang sama-samar.

"Ketika cuba pegang untuk membuangnya saya terperanjat mendapati ia seekor ular sawa. Kalau di kawasan kampung mungkin boleh ambil kayu untuk halau ular itu, tapi ini di plaza tol," katanya dihubungi Harian Metro di sini.

Sementara itu, Pegawai Operasi, Bencana dan Logistik Pejabat Pertahanan Awam Daerah Alor Gajah, Leftenan (PA) Abdul Hadi Baharom berkata, seramai empat anggota ke lokasi selepas menerima panggilan jam 5.30 pagi tadi.

Katanya, ular sawa sepanjang hampir dua meter dan berat kira-kira satu kilogram itu berjaya ditangkap menggunakan alat penyepit ular.

Tiada ulasan: