Noorazura Abdul Rahman
am@hmetro.com.my
Baling: Seramai 200 penduduk bertindak mengepung kawasan sekitar Kampung Bendang Padang, Kupang, di sini, selepas mereka terhidu bau petrol yang disyaki diguna bagi menyebabkan kebakaran.
Penduduk yang melakukan rondaan keselamatan mendakwa bau petrol itu dikesan di hadapan sebuah rumah kira-kira jam 12 tengah malam tadi.
Penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 40-an, berkata, selepas dimaklumkan mengenai bau itu, dia bersama empat rakan sekampung yang turut meronda bergegas ke lokasi rumah berkenaan.
"Memang betul bau petrol itu sangat kuat di depan rumah penduduk yang juga ibu tunggal. Saya dan rakan lain turut terbau petrol, namun kesan minyak itu tidak nampak kerana keadaan gelap.
"Penduduk kampung lain yang dimaklumkan kemudian datang membantu mengesan suspek, kami tunggu di lokasi dan cuba mengesannya.
"Tiba-tiba kami diberitahu ada bau petrol di belakang rumah penduduk lain yang terletak 100 meter," katanya ketika ditemui tadi.
Ahmad berkata, penduduk kemudian melaporkan kejadian kepada polis dan mereka bersama cuba mengesan suspek yang dipercayai cuba melakukan khianat kebakaran.
Katanya, ada penduduk turut mengesan bekas tapak kaki baru dipijak di kawasan sawah berdekatan, namun mereka gagal mengesan suspek sehingga jam 4 pagi tadi.
Sementara itu, pemilik rumah yang didakwa disimbah petrol, Salahudin Mahmud, 30, berkata dia keluar dari rumah selepas terdengar bunyi bising orang ramai di depan rumahnya.
"Saya keluar rumah jam 12.40 tengah malam, penduduk beritahu saya ada bau petrol di depan rumah namun sudah hilang, saya memang tak bau petrol dan tak ada kesan petrol.
"Namun kami sekeluarga tetap susah hati kerana bahagian atas rumah adalah kayu yang mudah terbakar, malam tadi saya tak boleh tidur sehingga subuh.
"Malam ini saya bercadang berjaga di depan rumah selama beberapa jam, sekarang penduduk terpaksa menjaga rumah masing-masing kerana takut menjadi sasaran cubaan membakar rumah," katanya.
Kelmarin sebuah lagi rumah di Kampung Charuk Kapas, Kuala Pegang dilaporkan terbakar dalam kejadian kira-kira jam 9.15 malam.
Keadaan itu menyebabkan penduduk bertambah gusar dan ada yang tidak berani meninggalkan rumah kerana bimbang rumah mereka akan terbakar.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Azmi Mokhtar berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan sama ada mempunyai kaitan dengan unsur khianat atau sebaliknya.
Azmi turut dilaporkan berkata, polis tidak menolak kemungkinan kebakaran membabitkan sembilan rumah di daerah ini antara 24 Disember hingga 2 Januari lalu membabitkan unsur khianat.
Penduduk turut diminta mengadakan solat hajat bagi memohon keselamatan susulan beberapa kebakaran harta dan rumah berturut-turut di Kupang, dekat sini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan