Malaysiakini
Rafizi Ramli berikrar untuk terus bersuara meskipun ada usaha untuk menutup mulutnya dengan saranan agar keanggotaannya dalam PKR digantung selepas menggesa kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi meneliti isu pelantikan hakim-hakim kanan.
Bekas Timbalan Presiden PKR itu menegaskan penggantungan terhadap dirinya serta lapan ahli parlimen PKR yang lain tidak akan menyelesaikan sebarang isu yang wujud dalam parti.
Sebaliknya, Rafizi berkata, tindakan disiplin hanya akan mencemarkan imej PKR, terutamanya kerana parti itu pernah menghadapi kritikan yang jauh lebih keras daripada ahlinya sendiri.
“Menggantung kami tidak menyelesaikan masalah kerana kami dibayar gaji oleh rakyat untuk bersuara bagi pihak mereka, jadi kami akan terus bersuara.
“Menggantung kami juga hanya memberi gambaran bahawa tidak ada ruang demokrasi dalam PKR, lebih-lebih lagi apabila ada ahli parlimen seperti (ahli parlimen Pasir Gudang) Hassan Karim yang lebih teruk mengkritik perdana menteri sebelum ini, tetapi tidak ada tindakan pun,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Pada Nov tahun lalu, Hassan dirujuk ke Lembaga Disiplin PKR susulan kritikan terbukanya terhadap kerajaan, termasuk tindakan Putrajaya menganugerahkan pelaksanaan rangkaian 5G kedua kepada syarikat U Mobile Sdn Bhd.
Namun, Majlis Pimpinan Pusat PKR kemudian memutuskan untuk tidak mengambil sebarang tindakan terhadap Hassan - yang sering mengangkat isu tadbir urus, ketelusan dan kebajikan rakyat secara lantang.
Kenyataan Rafizi hari ini hadir susulan taklimat khas yang diadakan oleh Perdana Menteri merangkap Presiden PKR, Anwar Ibrahim, bersama ahli parlimen PKR pada 14 Julai lalu.
Bagaimanapun, Rafizi tidak menghadiri pertemuan tersebut.
Menurut memo dalaman bertarikh 16 Julai yang ditandatangani Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh, sesi itu menekankan peringatan dan maklum balas Anwar bahawa sebarang kebimbangan perlu dibincangkan terlebih dahulu dengannya sebelum keluar sebagai kenyataan umum.
Fuziah turut menegaskan kepentingan mekanisme semak dan imbang dalaman sebelum sesuatu isu dibawa ke pengetahuan umum dan berkata tindakan beberapa ahli parlimen telah ditafsir sebagai satu bentuk “undi tidak percaya” terhadap Anwar.
“Tindakan ini perlu dianggap serius dari sudut disiplin dan etika kepimpinan... Saya menyeru semua ahli parlimen PKR mengambil peringatan ini secara serius dan menjadikannya prinsip dalam disiplin organisasi,” kata Fuziah dalam memo berkenaan yang dilihat oleh Malaysiakini.
Namun bertentangan dengan nada memo tersebut, Rafizi dalam nasihatnya kepada pimpinan PKR peringkat cabang yang baru dipilih berkata, “PKR tidak dibina dengan menutup mulut.”
“PKR nampak dinamik kerana kita sentiasa bergerak secara organik dan memberi ruang kepada sesiapa sahaja untuk membawa isu rakyat tanpa mengikut hierarki atau jawatan parti.
“Kita juga diminati rakyat sebelum ini kerana kita paling cepat dan lantang bersuara dalam isu-isu rakyat.
“Itulah amalan kami yang tua-tua ini buat sehingga PKR berjaya membentuk kerajaan dan membuka peluang kepada pimpinan baru, seperti ketua-ketua cabang ini, untuk menjadi orang besar dan berjawatan,” katanya.
Terdahulu, seramai 19 ketua cabang PKR Johor menuntut agar Rafizi dan lapan lagi yang senada dengannya digantung kerana melanggar disiplin parti apabila mengadakan sidang media untuk mendesak penubuhan RCI.
Sehari kemudian, 11 ketua cabang PKR Kedah turut menyokong gesaan itu.
Mereka mendakwa Rafizi dan lapan ahli parlimen terbabit melanggar kod etika keahlian PKR di bawah perkara 10.1 dan 10.2 Perlembagaan parti, khususnya kewajipan memelihara nama baik parti, mematuhi keputusan parti dan mengelak perbuatan sabotaj dalaman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan