Malaysiakini
Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim percaya PAS menyokong Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainudin, berbanding Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri PN pada PRU akan datang.
Mentafsirkan kenyataan Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah, Zaid memberitahu Malaysiakini ketika diminta mengulas lanjut mengenai tulisannya di X bertajuk "Kemurahan hati PAS, detik kebenaran Bersatu".
"PAS - melalui Nik Amar - menunjukkan kematangan politik yang jarang berlaku dalam meletakkan Hamzah sebagai calon perdana menteri jika PN membentuk kerajaan seterusnya," kata Zaid dalam ciapan itu.
Apabila ditanya berhubung kenyataan Mohd Amar hanya menyatakan Hamzah sebagai watak penting merangka strategi PN untuk PRU akan datang dan tidak secara jelas menamakan ahli politik terbabit sebagai calon PM, Zaid menjawab: "Itu tafsiran saya, ia cara yang bagus untuk memberitahu Muhyiddin. Orang dalam PN akan faham dengan jelas."
Selain menjadi Presiden Bersatu, Muhyiddin juga kini menjadi Pengerusi PN.
Dia berkhidmat sebagai perdana menteri selama 17 bulan apabila menyatukan Bersatu dan pembangkang ketika itu - BN serta PAS - selepas Langkah Sheraton yang menyaksikan PH dijatuhkan di luar pilihan raya.
Dalam ciapannya, Zaid melihat langkah PAS berbeza daripada parti lain yang menyaksikan berlakunya perebutan kuasa dengan para pesaing sering berebut jawatan teratas dengan mengorbankan perpaduan dan tumpuan.
"Sekarang terserah kepada Bersatu. Adakah parti itu akan memberikan tindak balas dengan pragmatisme dan kematangan politik yang sama?" katanya sambil menggesa Bersatu menghadapi realiti bahawa landskap politik sedang berubah.
Dia yang juga bekas Ahli Parlimen Kota Bharu menambah, Hamzah mempunyai daya tarikan yang lebih meluas - termasuk dalam kalangan bukan Melayu yang menjadi salah satu cabaran kepada PN jika mereka mahu mencapai keputusan yang baik dalam PRU.
"Gandingan beliau dengan pemimpin teknokrat seperti (Setiausaha Agung PAS) Takiyuddin Hassan dan (Menteri Besar Terengganu) Ahmad Samsuri Mokhtar boleh menampilkan pasukan kepimpinan hebat dan inklusif yang mampu mencabar penguasaan Madani," katanya.
Zaid bagaimanapun memberi amaran, jika PN gagal untuk bersatu dan bertanding bawah platform yang kukuh, tanpa hala tuju jelas, ia boleh menyebabkan kejatuhan gabungan berkenaan.
"Kenapa? Kerana jika Madani berjaya bersatu dan menang PRU akan datang maka dia (Perdana Menteri Anwar Ibrahim) akan menambah atau memperluaskan jumlah kerusi parlimen. Pada masa itu PN berisiko menjadi tidak relevan.
"Sekarang bukan masa untuk ego atau nostalgia. Sekarang adalah masa untuk mengatur strategi, visi, dan pengorbanan; untuk tujuan yang lebih besar demi pembaharuan negara," katanya dalam mesej kepada Muhyiddin.
Komen Zaid dibuat sebagai tindak balas kepada laporan FMT yang memetik Mohd Amar yang berkata perancangan strategik lazimnya adalah usaha berpasukan dan bukan tanggungjawab tunggal Presiden Bersatu atau Pengerusi PN.
"Strategi biasanya dibuat secara berpasukan, bukan oleh mana-mana individu. Jadi isu pertukaran presiden (Bersatu) tidak timbul," katanya.
Mohd Amar juga menegaskan PAS tidak berniat campur tangan dalam pertikaian dalaman Bersatu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan