"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rafizi tak gentar ketua cabang PKR desak gantung keahlian 9 MP

Hariz Mohd

Bekas timbalan presiden PKR Rafizi Ramli berkata menjadi hak ketua-ketua cabang PKR untuk mendesak parti itu menggantung keahliannya dan lapan ahli parlimen PKR lain, susulan gesaan mereka untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung krisis pelantikan kehakiman.

"Itu hak mereka lah. Parti ada proses, ada perlembagaan kan.

"Jadi memang dalam hak mereka lah untuk mendesak, tapi proses dia perlulah ada orang yang kena buat laporan disiplin ke lembaga disiplin.

"Kemudian lembaga disiplin kena melalui proses dan akhirnya keputusan itu adalah keputusan Majlis Pimpinan Pusat (MPP)," katanya ketika ditanya selepas forum mengenai kehakiman malam tadi.

Setakat ini, 19 ketua cabang dari Johor dan 11 ketua cabang PKR dari Kedah menggesa penggantungan Rafizi dan lapan ahli parlimen itu kerana dituduh melanggar disiplin parti.

Bagaimanapun, Rafizi mengingatkan PKR sebuah “parti reformasi” yang meraikan perbezaan pendapat.

"Sebagai ahli parlimen, kami ada dua tanggungjawab yang kami nak kena imbangkan. Satu ialah sebagai anggota parti. Dan kalau sebagai anggota parti itu, saya rasa sumbangan kami yang lama-lama ini, lagi banyak lah daripada ketua-ketua cabang yang baru masuk lima, enam bulan tu kan kepada parti.

"Jadi, yang itu dari segi tanggungjawab kami sebagai anggota parti. Tapi kami juga ada tanggungjawab sebagai ahli parlimen. Dan ahli parlimen bila ada isu-isu yang besar, yang perlu kami suarakan, kami perlu suarakan.

"Cuma nasihat saya kepada ketua-ketua cabang yang ghairah nak buat petisyen dan sebagainya ini kan, berhati-hati kerana PKR ni parti reformasi.

"Dan satu perkara yang membezakan PKR daripada parti-parti lain, ialah kerana kita memang memberi ruang untuk berbeza pandangan," katanya lagi.

Terdahulu, ketika forum berlangsung, Rafizi ditanya jika dia berpuas hati dengan tahap sokongan yang diterimanya dan lapan lagi ahli parlimen PKR dalam usaha mereka mendesak penubuhan RCI berhubung skandal kehakiman.

Ahli parlimen Pandan itu menjawab tiada ahli parlimen lain – sama ada dari pihak pembangkang mahupun PH – yang tampil menyokong mereka dalam isu tersebut.

Namun begitu, Rafizi berkata dia percaya mereka tetap berjaya menarik perhatian terhadap isu berkenaan.

“Apabila kami sembilan orang buat keputusan (untuk mendesak RCI), kami tidak mengharapkan sokongan daripada sesiapa pun.

“Tetapi walaupun hanya sembilan ahli parlimen, saya percaya kami telah mencapai matlamat kami, iaitu untuk meraih perhatian umum.

“Kami hanya mahu menyumbang suara kepada pihak berkepentingan yang lain. Kami hanya menambah suara kami,” katanya.

Rafizi turut berkata mereka juga tidak mengharapkan sebarang sokongan daripada PN, selepas melihat reaksi bercampur-campur daripada kalangan ahli parlimen pembangkang sendiri.

Tiada ulasan: