"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS mahu Muhyiddin bincang sebelum umum sebarang 'keputusan PN'

Malaysiakini 

PAS mahu PN - khususnya Bersatu - melaksanakan konpep musyawarah dengan parti dalam gabungan itu sebelum sesuatu dasar mahu diumumkan.

Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, berkata antara isu dasar yang penting dan tidak dirundingkan dulu dengan mereka ialah calon perdana menteri daripada PN.

Katanya keputusan sebegitu ada yang diumumkan oleh Muhyiddin Yassin - selaku pengerusi - tanpa berunding terlebih dulu dengan PAS.

"Keputusan yang dibuat oleh Pengerusi PN sekarang, Muhyiddin, tidak dibincangkan dalam PN. Siapa calon perdana menteri apa semua... dan jawatankuasanya tidak dibuat (dibincang) setahu saya.

"Jadi, kita (PAS) minta supaya dirunding, diputuskan dulu baru diumumkan. Jangan terus umum begitu sahaja," kata Hashim dalam satu rakaman audio yang dikongsikan oleh sebuah portal berita kepada Malaysiakini.

Sesetengah pihak berpendapat kerjasama dalam PN - khusunya melibatkan Bersatu dan PAS - kini tidak sebaik dulu ekoran beberapa isu berbangkit, termasuk peletakan jawatan Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai bendahari agung gabungan itu pada pertengahan Dis tahun lalu.

PAS juga menghantar isyarat agar PN melantik pemimpin kanan mereka untuk mengisi jawatan setiausaha agung yang kosong selepas penyandangnya, Hamzah Zainudin, menjadi Timbalan Presiden Bersatu.

Hadi sendiri sokong

Bagaimanapun di sebalik penafian kedua-dua pihak bahawa hubungan tersebut bermasalah, Muhyiddin melantik bekas Timbalan Presiden PKR yang kini menjadi Ketua Pembangkang Selangor, Azmin Ali, sebagai Setiausaha Agung PN.

Jawatan Bendahari Agung PN yang ditinggalkan Ahmad Samsuri pula kekal kosong walaupun PAS menyatakan mereka sudah ada calon lain untuk menggantikan Menteri Besar Terengganu tersebut.

Pada 10 April lalu pula Malaysiakini melaporkan bahawa struktur organisasi PN mungkin akan dirombak bagi menambah baik parti pembangkang.

Menurut Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, majlis tertinggi gabungan itu bersetuju untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi menilai cadangan berkenaan.

Tuan Ibrahim yang juga anggota Majlis Tertinggi PN menegaskan, antara aspek yang diberi perhatian dalam penambahbaikan parti itu ialah pindaan perlembagaan, dan penubuhan majlis presiden.

Hashim berkata, adalah penting untuk sebarang perkara dasar yang ingin dilaksanakan oleh PN dirunding secara bersama parti lain memperkukuhkan gabungan tersebut.

"Benda-benda perkara dasar tak boleh ditentukan satu pihak, itu sahaja, bukan menyuruh kita berpecah belah," katanya lagi.

Untuk rekod juga pada 6 Julai lalu, Muhyiddin mendakwa PAS memberi sokongan penuh kepadanya untuk terus memimpin gabungan itu.

Kata bekas perdana menteri itu, antara pemimpin PAS yang memberikan sokongan agar dia terus menerajui PN ialah Abdul Hadi Awang sendiri.

Tiada ulasan: