SITI NUR ZAWANI
Pasca Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu yang sepatutnya menjadi medan pengukuhan perpaduan parti kini bertukar menjadi gelanggang pertembungan antara kem Tan Sri Mahiaddin Md Yassin dan Datuk Seri Azmin Ali, dengan kem Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar berkata, pertembungan antara dua kem besar di dalam parti itu memperlihatkan minat Pas kini mula beralih kepada kem Ketua Pembangkang, Hamzah Zainuddin berbanding kepimpinan Mahiaddin.
“Keretakan ini mengheret hubungan Bersatu dengan Pas ke tahap yang lebih rapuh.
“Hakikatnya, Pas tidak lagi menunjukkan minat kepada kepimpinan Mahiaddin mahupun Azmin, sebaliknya memilih untuk lebih mesra dengan kem Hamzah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mahfuz berkata, situasi ini mendedahkan kedudukan sebenar Bersatu dalam Perikatan Nasional di mana mereka bukan lagi rakan setara, sebaliknya sekadar pelengkap yang bergantung harap pada belas ihsan Pas
Beliau melihat ketika ini Pas sedang cuba untuk menjadi tuan rumah manakala Bersatu hanya sebagai penyewa.
“Apabila rumah tangga sendiri pun tidak mampu dipertahankan, bagaimana Bersatu dan Pas mahu diyakini sebagai parti yang boleh memimpin negara?,” soalnya lagi.
Pergolakan dalaman Bersatu mula timbul selepas Datuk Wan Saiful Wan Jan secara terbuka menyerang rakannya yang juga Setiausaha Agung Bersatu, Mohamed Azmin.
Wan Saiful mendakwa, Azmin tidak layak menjadi pemimpin Bersatu selagi tidak selesai kontroversi berhubung video tular pada 2019.
Wan Saiful berkata, beliau menerima maklumat baharu, mendakwa siasatan forensik terhadap video membabitkan ADUN Hulu Klang itu sebagai tulen.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan