Najib lepas: Saya tak faham dengan pendakwa raya - Rafizi
Malaysiakini
Rafizi Ramli mengkritik pihak pendakwaan dalam kes pengubahan wang haram melibatkan dana syarikat SRC International Sdn Bhd yang menyaksikan Najib Razak dilepas tanpa dibebaskan (DNAA).
“Saya menghormati hak Datuk Seri Najib untuk membuat permohonan DNAA kerana beliau telah menunggu lama sejak 2019. Saya juga menghormati keputusan Hakim K Muniandy yang membenarkan permohonan DNAA itu.
“Saya tidak faham kenapa pihak pendakwa raya mengambil masa yang begitu lama (sejak 2019) untuk menyiapkan dokumen seperti yang diperlukan untuk memulakan kes?” soalnya.
Rafizi berkata, dari pengalamannya mengkaji dan mendedahkan skandal 1MDB dan SRC sebelum ini, dakwaan penyelewengan melibatkan SRCl mempunyai bukti aliran tunai yang lebih jelas.
“Kelemahan ini jelas perlu dijawab oleh pihak pendakwa raya,” gesa bekas menteri ekonomi dan bekas timbalan presiden PKR itu.
“Ramai rakyat Malaysia tidak mahu melihat kes ini berlalu begitu sahaja atas kegagalan pendakwa (yang mewakili kerajaan) menyiapkan dokumen bukti ke mahkamah, berhubung satu skandal (iaitu SRC) yang telah pun dijatuhkan hukuman bersalah.”
Rafizi juga menyeru pihak pendakwaan mengesahkan bahawa jabatan Peguam Negara (AGC) akan memfailkan semula pertuduhan dengan secepat mungkin dan menyiapkan dokumen sewajarnya, agar kes ini dapat berjalan dengan segera.
“Sebagai anggota parlimen, saya akan mengikuti perkembangan kes ini dengan dekat agar ia tidak tercicir dari pandangan awam,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan