Zahratulhayat Mat Arif
am@hmetro.com.my

SEBUAH rumah milik mentua kepada ketua pembangkang, Hamzah Zainudin telah terbakar mengorbankan ibu mentuanya, malam tadi. FOTO ihsan Bomba Perak
Ipoh: Rumah milik keluarga mentua ketua pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin di Kampung Sungai Rapat Tambahan di sini terbakar malam tadi.
Kejadian itu meragut nyawa ibu mentuanya, Salmiah Nyakk Matt, 84, manakala bapa mentuanya, Datuk Abdul Ghani Ngah, 83, mengalami kesukaran bernafas.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Sayani Saidon, yang terlibat dalam operasi menyelamat, mengesahkan kejadian itu ketika dihubungi hari ini.
Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kebakaran berlaku pada jam 9.19 malam di sebuah kediaman dua tingkat yang terletak di Jalan Raja Abdullah.
Beliau berkata, perkhidmatan kecemasan dimaklumkan melalui panggilan MERS 999, mendorong tindak balas pantas daripada pihak polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak.
"Siasatan awal mendedahkan bahawa enam individu, kesemuanya dari keluarga yang sama, berada di dalam rumah semasa kejadian.
"Kebakaran itu secara tragis meragut nyawa seorang wanita berusia 84 tahun, yang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Suaminya, seorang lelaki berusia 83 tahun, berjaya diselamatkan dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk rawatan perubatan.
"Empat ahli keluarga yang lain, berumur antara 18 hingga 49 tahun, berjaya menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan," katanya.
Abang Zainal Abidin berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan untuk menentukan punca kebakaran.
"Kes ini telah diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR)," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan