Amirul Aiman Hamsuddin
am@hmetro.com.my

ORANG awam membantu mengeluarkan dua daripada tiga mangsa kemalangan kereta Proton Saga di Kampung Belia 2, Sungai Panjang, Sungai Besar hari ini. FOTO tular
Shah Alam: Seorang pemandu kereta maut manakala dua lagi cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas melanggar pembahagi jalan dan terbalik di Kampung Belia 2, Sungai Panjang, Sungai Besar hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan jam 1.25 tengah hari berhubung kejadian itu.
Beliau berkata, sepasukan tujuh anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besar dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Nahas membabitkan sebuah kereta jenis Proton Saga yang dinaiki seorang lelaki, wanita dan kanak-kanak perempuan.
"Pemandu iaitu lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30-an tersepit dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya dalam satu kenyataan.
Ahmad Mukhlis berkata, dua mangsa berjaya dikeluarkan orang awam sebelum pihaknya tiba.
Katanya, mangsa lelaki yang tersepit di bahagian pemandu kemudian dikeluarkan anggota bomba.
"Mangsa berjaya dibawa keluar jam 3.03 petang dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
"Manakala mangsa wanita berusia lingkungan 30-an pula cedera parah dan kanak-kanak perempuan cedera ringan. Mereka diserahkan kepada KKM," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan