"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pengkhianat negara: AKPS siasat dakwaan anggota benarkan warga asing masuk secara tidak sah

Zuliaty Zulkiffli

BUKIT KAYU HITAM: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) memberi amaran tegas kepada pegawai dan anggotanya yang bertugas di pintu masuk negara, agar tidak terbabit dalam sebarang perbuatan khianat.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya menerima foto tular di media sosial berhubung dakwaan kemasukan warga asing secara tidak sah di kawasan sempadan sehingga menimbulkan kebimbangan awam.

Beliau berkata, bagaimanapun pihaknya tidak dapat mengesahkan sama ada warga asing terbabit memasuki negara melalui pintu sempadan di Bukit Kayu Hitam atau sebaliknya.

“Setakat ini tiada bukti jelas menunjukkan kemasukan warga asing termasuk dari India dan Bangladesh berlaku melalui laluan terbabit, malah perkara itu tidak dapat kita kenal pasti, namun saya memandang serius kebimbangan yang disuarakan awam terutamanya yang tinggal berdekatan sempadan.

“Saya sudah memberi amaran kepada pegawai dan anggota AKPS supaya tidak terbabit dalam sebarang perbuatan khianat sehingga menjejaskan keselamatan sempadan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Serah Terima Tugas Komander AKPS Bukit Kayu Hitam di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), di sini hari ini.

Pada majlis itu, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir menyerahkan tugasnya sebagai Komander AKPS Bukit Kayu Hitam kepada Senior Asisten Komisioner Fauzi Mohd Yusuf.

Mohd Nasaruddin kini dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (0perasi) AKPS Putrajaya selepas berkhidmat selama satu tahun dua bulan di AKPS Bukit Kayu Hitam.

Dalam pada itu, Mohd Shuhaily berkata, tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat unsur pengkhianatan dalam kalangan pegawai yang boleh membuka ruang kepada pencerobohan sempadan.

Katanya, beliau tidak teragak untuk turun sendiri bagi mengenal pasti mana-mana pihak yang terbabit, sekiranya perkara itu benar berlaku.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya menyerahkan siasatan berkaitan kes tembakan membabitkan Mohd Nasaruddin di Bukit Kayu Hitam bulan lalu kepada polis.

Pada masa sama beliau berkata, pihaknya turut memperketatkan kawalan sempadan bagi membendung aktiviti penyeludupan barangan bersubsidi yang dijangka meningkat susulan konflik di Asia Barat.

“AKPS bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam melaksanakan penguatkuasaan. AKPS menyokong peranan agensi peneraju dan memastikan kawalan sempadan terus diperkasa bagi mengekang sebarang bentuk penyeludupan.

“Selain itu aspek integriti dan pemantauan berterusan terhadap anggota di pintu masuk negara akan terus diberi keutamaan bagi memastikan keselamatan sempadan sentiasa terpelihara, ” katanya.

Tiada ulasan: