"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PPSMI: 12 bilion untuk pengendalian PPSMI? Ini skandal!

Ali Bukhari Amir

"Saya kata jika benarlah sampai cecah RM12 bilion, ini skandal!" kata seorang pensyarah kepada kami pagi itu. Teman saya itu terdiam dan saya pula terpinga-pinga mendengar maklumat itu.

Pagi itu saya dan seorang rakan daripada Kumpulan Prihatin sedang berbual-bual mengenai isu PPSMI. Kami tak rancang pun untuk berbual berhubung hal tersebut. Ahli akademik itu mendapat maklumat itu berasaskan bualannya dengan beberapa orang kenalannya.

Bualan santai pagi itu sebenarnya menyentuh seputar permasalahan pengajian tinggi peringkat sarjana termasuk beberapa masalah pbenyelia yang memenatkan siswazah yang meneruskan pengajian di peringkat sarjana dan doktor falsafah.

Angka RM12 bilion ini sememangnya memeranjatkan atau boleh ditafsirkan sesetengah pihak sebagai belanjawan yang tidak munasabah. Terpulang kepada sesiapa sahaja yang berminat membentuk tafsiran sendiri. Kita semua berhak membentuk suatu tafsiran ke atas maklumat yang kita dengar.

Kalau angka ini benar, sejujur-jujurnya saya sendiri tak jelas untuk apa peruntukan berbilion itu dihanguskan. Tetapi, saya tulis juga hal ini supaya ada pihak yang dapat tampil memberi jawapan.

Terdahulu, ada laporan yang menyentuh bahawa hasil selenggaraan mencecah sekitar RM3 bilion. Tiba-tiba sudah jadi RM12 bilion? Kita letak angka dan nama orang yang meriwayatkan hal ini sebagai cara bagi menyiasat hal ini dengan jujur.

Mungkin kita tersalah faham dan silap dengar mengenai peruntukan PPSMI sejak dulu dan sekarang. Jadi, minta maaf jika tersalah. Tapi, telinga ini tidak salah dengar bahawa ada angka RM12 bilion yang disebut. Dalam negara demokrasi, kita berhak bertanya untuk mendapatkan maklumat.

Mingguan Malaysia 5 Julai baru-baru menyiarkan laporan berhubung Ananda Krishnan yang hampir membeli kelab bola sepak Newcastle dengan harga RM547 juta. Angka RM12 bilion mengatasi harga Kelab bola sepak Newcastle itu jikalau kelab itu jadi dibeli.

Di sebelah laporan Ananda beli Newcastle RM547juta, diletakkan gambar seorang nenek Cik Mah Mat Dali, 72, bersama tiga cucunya yang 'memburu' emas di Tobiar, Pendang, Kedah.

Antara dua darjat

Pemikiran para wartawan dan pihak editor akhbar sememangnya begitu. Sengaja dibiarkan kedua-dua laporan begitu disusun berdekatan, lalu mereka membiarkan rakyat membuat tafsiran. Jika rakyat bijak, mereka akan dapat melihat hal itu. Jika tidak, mereka akan abaikan dan terus bekerja seperti biasa untuk dilanyak kehidupan mereka oleh penguasa.

Seorang taikun media sedang mencetak kemasyhuran dan mencetak lebih banyak wang dengan pembelian kelab bola sepak. Dan di sebelahnya adalah kisah tentang ratusan penduduk desa yang miskin, bertungkus-lumus mencari emas untuk keluar dari daerah lingkungan kemiskinan yang parah; wilayah merah dengan setiap detiknya sentiasa sarat dengan belenggu hidup.

Pendidikan dan pelajaran adalah salah satu ruang yang terbuka supaya rakyat berjaya membaiki taraf hidupnya sendiri.

Anak-anak itu berhak mendapat pelajaran di peringkat SPM tanpa perlu mereka dihadkan pengambilan 10 mata pelajaran dan mereka berhak menerima pelajaran dalam bahasa yang mereka senang fahami.

Jika mereka mudah faham belajar dalam bahasa ibunda, kekalkan usaha memindahkan pelajaran itu dalam bahasa ibunda. Itu hak mereka.

Tetapi, pihak pemerintah telah menafikan hak tersebut, mencabul undang-undang, memperkosa perlembagaan melalui PPSMI.

Akibatnya, hal ini telah membunuh semangat belajar anak-anak kita, sekali gus membunuh semangat mengajar guru-guru.

Baca selanjutnya:-http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=021558&Itemid=35


Tiada ulasan: