"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

ISA memisahkan 'ahli-ahli syurga' itu....

Azamin Amin

Selepas subuh, Fathur Rahman Al- Ghazi, 4 tahun, sudah cantik bergaya, tidak sabar berjumpa ayahnya. Di tangannya beberapa helai kertas kosong dan sekotak pensil warna digenggam kemas.

Nak ayah lukis, lepas itu adik warnakan, beritahu Fathur kepada ibunya.

Untuk bertemu ayahnya yang terindu, Fathur dan ibunya terpaksa menempuh perjalanan sejauh 350 kilometer dari Simpang Durian, Negeri Sembilan ke Kem Kamunting Taiping, Perak dengan menaiki bas.

Perjalananan selama lebih lima jam itu, membuatkan sesekali si kecil ini merengek lapar dan merasakan terlalu lama.

"Lama lagi ke mak?," katanya tidak sabar untuk bertemu ayahnya. Sudah berkali-kali menyapa soalan yang sama, akhirnya si comel ini terlena di pangkuan ibunya.

Lewat petang, dua beranak ini muncul di bilik berpintu besi itu dengan mata yang sudah mula berkaca. Fathur terus memeluk ayahnya, lantas meminta melukiskan gambar pada cebisan-cebisan kertas kosong yang dibawanya.

Setelah ayahnya siap melakarkan gambar-gambar menarik, Fathur mula mewarnakannya dengan penuh khusyuk, penuh semangat dan penuh ceria. Sementara Fathur khayal dan asyik dengan kerjanya, si ibu dan sang ayah mula melabuhkan rindu, bertukar-tukar cerita dan berkongsi duka lara untuk seketika.

"Masa cukup!" Jerkah pengawal yang berada di sisi keluarga tiga beranak ini. Tersentak ketiga-tiganya lantaran, masa membungkam rindu diberikan 45 minit semata-mata.

Setelah seronok mewarnakan lukisan ayahnya itu kini semangat riangnya Fathur mula berkecai ketika ibunya menyapa lembut untuk pulang meninggalkan ayahnya.

Hidayu Kamrulzaman, 25 cuba memujuk si kecil Fathur agar melepaskan dakapan erat di tubuh sang ayah. Meronta-ronta, disusuli esak tangisnya lantas dibelai ayahnya semula dengan nada sayu.

"Nanti ayah balik ya. Ayah ada kerja..." kata ayahnya sambil merungkai perlahan-lahan jemari halus anaknya itu yang mencengkam tidak mahu melepaskan pergi.

Itu rakaman kisah benar yang diceritakan sendiri oleh ibunya, ketika saya mengunjungi keluarga mangsa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) setahun yang lalu ketika menggalas tugas wartawan.

Saya tidak dapat membayangkan betapa tersiatnya hati seorang anak kecil apabila dipisahkan daripada ayahnya. Ya, 'ahli-ahli syurga' yang tidak berdosa ini tidak mengerti apa-apa.

"Bayangkanlah ketika melihat orang lain bermanja dengan ayah mereka, dia bertanya saya mengapa ayahnya tiada di sisi apatah lagi pada hari raya nanti,"kata Hidayu sayu sambil memangku anak bongsunya Ubaidah Al-Harith, 1 manakala anak keduanya Uwais Al-Qarani, 3 rancak bermain dengan si abang, Fathur.

"Saya tak mampu nak bawa ketiga-tiga mereka. Saya bawa seorang sahaja, bergilir-gilir setiap kali pergi melawat. Tambahan pula naik bas dari sini," jelasnya sambil didatangi Fathur dan Uwais ke riba saya.

Saya cuba menahan sebak dan memalingkan muka ke arah lain tatkala si abang mula memegang baju bucu seluar saya lalu bersuara lembut " Acik, bawa balik ayah ya...?"

Di dalam kereta, bercucuran air mata saya, berderai laju....

'Bencikah ayah kepada saya...?'

Tanggal 27 September tahun lalu turut membawa saya ke sebuah rumah di Kampung Sg. Tiram, Johor, menyelami derita seorang kanak-kanak perempuan Hawa Baraah Zakaria, 7 tahun yang 'kehilangan' ayahnya secara tiba-tiba, seminggu selepas hari raya beberapa tahun yang lalu.

Baca selanjutnya:- http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=021610&Itemid=35

Tiada ulasan: