"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Barat tidak benar Islam menang melalui demokrasi

Mohamad Sabu
Sat Jul 11, 09

Negara dunia ketiga, khasnya negara-negara umat Islam, cuba keluar dari pemerintahan diktator kepada pemerintahan demokrasi. Negara-negara Eropah Barat yang menjadi kolonial kepada dunia ketiga telah menikmati demokrasi terutama selepas Perang Dunia Kedua.

Satu demi satu negara Eropah Timur cuba melepaskan diri dari sistem diktator "ala komunis" kepada sistem demokrasi bebas ala Eropah Barat dan Amerika Syarikat.

Negara kuasa besar Eropah seperti Perancis, Britain dan AS menyeru negara dunia ketiga agar memilih demokrasi. Setiap negara Eropah Timur yang terkeluar daripada amalan "sosialis diktator" akan dialu-alukan oleh Perancis, Britain dan AS.

Mereka amat mengalukan perubahan politik di Poland, Romania, Chekoslavakia dan beberapa negara lain ke arah melaksanakan demokrasi ala mereka, bahkan segala bantuan dicurahkan untuk memperteguhkan ekonomi negara "saudara baru" demokrasi itu.

Rapat umum

Pada tahun 1991 pilihan raya bebas diadakan di Algeria, negara bekas jajahan Perancis. Pertama kali rapat-rapat umum parti-parti politik diizinkan secara bebas. Pelbagai aliran dan ideologi mengenengahkan corak politik dan negara yang akan mereka bentuk bila rakyat memilih mereka.

Parti aliran Islam, FIS dipilih oleh rakyat secara gemilang dan terhormat. Pilihan raya berjalan lancar dan bersih dari segala penipuan dan manipulasi. Pemimpin utama FIS, Dr Abbas Madani sudah bersedia untuk mengangkat sumpah bagi memimpin negara demokrasi Algeria setelah mendapat mandat rakyat.

Hipokrasi negara Eropah Barat dan Amerika terserlah apabila mereka menggalakkan tentera merampas kuasa dan membatalkan keputusan pilihan raya secara demokrasi yang dibuat oleh rakyat Algeria itu.

Algeria kembali bergolak, pembunuhan sesama rakyat berleluasa, negara "mustakbirin Kristian" Barat rela melihat kehancuran demokrasi di Algeria.

Pilihan raya Palestin di kawasan autonomi dijalankan secara bebas pada Jan 2006. Pemerhati antarabangsa dan NGO mengakui pilihan raya itu dikendali secara bebas dan adil. Ia diakui sendiri oleh bekas Presiden AS, Jimmy Carter.

menang mutlak

Hamas (Harakatul Muqawamah Islamiah) mendapat kemenangan mutlak. Sepatutnya negara kuasa besar Barat mengalu-alukan proses demokrasi di Palestin, sebaliknya kemenangan Hamas tidak diiktiraf oleh negara Islam dan negara kuasa utama Barat.

Tidak lain dan tidak bukan, "mustakbirin Kristian" Barat tidak boleh menerima kemenangan golongan Islam melalui proses demokrasi. Huru-hara berlaku di Palestin adalah atas kehendak Eropah Barat dan AS demi menghancurkan gerakan Islam yang dipilih oleh rakyat melalui proses demokrasi yang mereka sendiri taja.

Demokrasi juga cuba dilaksanakan di Mesir. Ikhwan muslimin yang diharamkan, "diizinkan" untuk ke tengah gelanggang pilihan raya. Hampir semua bandar besar di Mesir mampu dikuasai Ikhwan. Amat diyakini bahawa Ikhwan boleh menguasai dan memenangi pilihanraya di Mesir.

Bagaimanapun polis dan tentera digunakan oleh regim Hosni Mubarak untuk menyekat orang ramai daripada keluar mengundi. Demokrasi dicemari, proses pilihanraya penuh dengan kepincangan, penipuan dan ugutan.

Walaupun demokrasi tajaan Barat dicemari, namun negara Barat dan AS tidak berbuat apa-apa terhadap pencemaran demokrasi di Mesir, asalkan golongan Islam tidak memenangi dan berkuasa di negeri itu. Bahkan regim Hosni Mubarak terus dibantu AS untuk mengekalkan pemerintah diktator di bumi penuh bersejarah itu.

Gambaran buruk

Daripada 60 minit siaran berita CNN, lebih 40 minit adalah untuk membincangkan pilihan raya di Iran pada awal Jun lalu. Siaran BBC dan Aljazerah memperuntukkan masa lebih separuh waktu beritanya untuk fokus pilihan raya Iran. Ahmadinejad cuba digambarkan sebagai manusia diktator yang mesti ditolak oleh rakyat Iran.

Seluruh dunia diletakkan dalam keadaan gelisah tentang apa yang berlaku di Iran. Debat terbuka yang berlaku di antara calon presiden mengatasi debat terbuka calon-calon presiden AS. Obama sendiri terkejut dan kagum tentang debat terbuka antara calon-calon presiden Iran.

Keputusan pilihan raya diisytihar memihak kepada Ahmadinejad dengan mendapat undi popular lebih 62 perayus daripada empat calon yang bertanding.

Rasa tidak puas hati calon yang kalah adalah perkara biasa berlaku dalam mana-mana pilihan raya. Tetapi CNN, BBC, Aljazerah Britain, AS dan negara Barat terus mempertikai keadilan demokrasi di Iran.

Kita yang mengikuti dari jauh perjalanan pilihan raya Iran turut merasa cemas melihat perjalanan demokrasi di Iran. Tetapi apabila kita toleh akan apa yang berlaku terhadap demokrasi di Algeria, demokrasi di Mesir dan realiti di Pelestin membuatkan kita mudah faham terhadap suasana di Iran.

Bagi Britain, AS dan negara Eropah Barat, mereka hanya akan menerima proses demokrasi apabila golongan aliran Islam kalah dalam pilihan raya. Apabila golongan aliran Islam menang melalui pilihan raya, maka demokrasi itu dengan sendirinya terbatal.

Sampai bila mustakbirin Barat dan AS akan terus mengatur sistem demokrasi dunia? Sampai bila negara dunia ketiga dan negara Islam menjadi kuda tunggangan mereka?

-harakahdaily-

Tiada ulasan: