NI HAO MA? Itulah permulaan ucapan saya, dalam ceramah saya awal bulan ini baru lalu di Tanjung Karang, bersama Dato' Seri Ir Nizar Jamaluddin selaku Menteri Besar Pakatan Rakyat bagi negeri Perak.
Turut sama berceramah ialah Drs Mohd Rashidi Deraman YDP PAS Tanjung Karang, Hj Kudus PKR Tanjung Karang, En Song KPP Selangor, En Depakaram, Ayong dan beberapa lagi. Majlis, dirasmikan oleh MB Pakatan Rakyat di Perak, Dato' Seri Ir Nizar, yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang.
Lebih kurang itu saja yang saya tahu antara perkataan-perkataan dalam bahasa Cina, itu pun saya terpaksa ambiltahu sewaktu saya berkunjung ke China hujung tahun lepas. Walaupun begitu, ramai yang jawab balik dalam bahasa Cina disertai tepukan bergemuruh. Al-hamdulillah.
Tiba-tiba Ahad lepas berlaku rusuhan di Xinjiang. Isninnya, berita dari Washington menyebutkan AS rasa dukacita yang 'mendalam' atas terkorbannya 156 orang dalam kekerasan etnik di wilayah tersebut. “Kami sangat kesal atas kehilangan ratusan nyawa..." kata jurucakap jabatan luar negara AS Ian Kelly, ketika Kementerian Luar China, Wu Dawei berkunjung ke Washington.
Media China melaporkan pada hari Isnin ribuan yang memberontak melawan polis dan membakar kenderaan-kenderaan di kota Urumqi kerana memprotes terhadap campurtangan pemerintah dalam sengketa industrial yang berubah menjadi kekerasan. Namun orang-orang Uighur yang hidup dalam kesengsaraan itu menolak tuduhan Beijing bahawa mereka telah memulakan rusuhan tersebut.
“Sudah menjadi hal yang biasa bagi Beijing menyalahkan orang luar atas setiap masalah yang muncul di Xinjiang, seperti halnya masalah Tibet.” ujar Alim Seytoff, jurucakap kumpulan pendesak Kongres Uighur Se Dunia kepada Al Jazeera. "Akar masalah sebenar ialah kebijaksanaan kerajaan China selama bertahun-tahun itu." katanya.
Seorang penduduk tempatan yang dihubungi Reuters mengatakan, Urumqi yang terletak 3,200 km sebelah barat Beijing, kini berada di bawah 'martial law', dan saksi memberitahu telah melarat ke Kashgar, kota kedua di Xinjiang pada siang Isnin'. Memang kerajaan China selama ini kerjanya menyalahkan puak Muslim sahaja pada setiap kerusuhan yang terjadi selama puluhan tahun di Xinjiang, walaupun ada kritik mengatakan disebabkan banyak etnik Uighur yang marah terhadap tuntutan politik, budaya, dan agama serta meningkatnya keberadaan etnik Han di wilayah mereka. (Lihatwww.suaramedia.com)
Sementara itu menurut Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa dalam kenyataannya semalam perkembangan di China yang membabitkan pergeseran sengit antara kaum Han dan Uighur yang majoritinya beragama Islam di Wilayah Xinjiang, China.
"Dalam hal ini, sebagai parti yang mempertahankan dan memperjuangkan Islam dan umatnya, kami (PAS) meminta PM memaklumkan keadaan keselamatan masyarakat Islam Malaysia yang menetap di sana, sekiranya ada," kata Nasharudin dalam kenyataannya. Kerana menurut maklumat yang diterima, pihak berkuasa komunis China mengawal ketat semua sumber berita di negara berkenaan, agensi media asing melaporkan pertelingkahan kaum telah dicetuskan oleh puak pemisah Islam Uighur bersenjatakan pisau dan kayu belantan..
Malah, pihak polis China juga sedang menjalankan operasi menangkap secara besar-besaran suspek rusuhan sekitar 1,500 orang, kebanyakannya kaum Uighur yang dituduh menjadi punca rusuhan. Kata Nasharudin, kerajaan perlu menilai semula hubungan diplomatiknya dengan China jika China tidak dapat menjelaskan kedudukan yang sebenarnya termasuklah memanggil Duta China untuk memberikan penjelasan kepada kerajaan dan rakyat Malaysia.
Pengerusi Lujnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad berkata, pihaknya memandang berat terhadap pembunuhan tersebut dan menggesa China menghentikan seberapa segera. PAS menyeru semua pihak sama ada penduduk berketurunan Uighur atau Han agar kembali ke meja rundingan dan mencari jalan damai dan hak asasi penduduk Islam Uighur di Wilayah Autonomi Xinjiang, mestilah dijamin dan dilindungi semua pihak.
Sementara itu Bernama melaporkan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) berkata, "Dunia Islam mengharapkan China, satu kuasa besar dan bertanggungjawab di dunia dengan sejarah hubungan persahabatan dengan dunia Muslim, menangani masalah minoriti Muslim di China dengan satu perspektif yang luas bagi menyelesaikan punca sebenar masalah itu," menurut OIC yang beribu pejabat di Jeddah dalam kenyataannya. OIC bersedia menghulurkan bantuan dan mengadakan rundingan dengan kerajaan China mengenai usaha-usaha untuk mewujudkan keamanan dan kestabilan di wilayah itu.
Maka kini umat Islam di Malaysia, bahkan di seluruh dunia, perlu merasa sakit, seperti sakitnya paha kiri bila paha kanannya dicubit. Ingat bagaimana sakitnya tragedi pergeseran kaum 13 Mei 1969, sehingga sekarang menghantui politik Malaysia. Bukan sakit saja, bahkan perlu bertindak sewajarnya. Bukan fikir untuk orang Cina di Malaysia sahaja, bahkan memikir persaudaraan Islam dan kemanusiaan seluruh dunia. Itulah konsep 'as-salamu 'alaikum' dan 'ni hao ma' (apa khabar) yang di dalam bahasa China itu sebenarnya.Wallahu 'aklam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan