"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mungkihkah Negeri Sembilan jadi Terengganu kedua? / UBN Najib Altantuya / PKFZ

Mat Zain Mat Isa
Tidak ada apa yang sepatutnya terlalu menyenakkan para pendokong PAS di atas kekalahan parti itu lewat Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Ne
geri (Dun) Bagan Pinang, minggu lalu. Parti itu bukan tidak biasa kalah, apatah lagi di Negeri Sembilan.

Sedangkan sejumlah kerusi yang pernah ditakluk PAS pun boleh terlepas ke tangan Barisan Nasional (BN), inikan pula Bagan Pinang. Kerusi yang cuba dirampas itu sejak turun-temurun bukan milik PAS. Ia bukan juga pernah sebelum ini nyaris-nyaris dimilikinya

Sepertimana diakui semua pihak, ia adalah lubuk BN dan berada di negeri yang tersenarai antara kubu paling kebal bagi parti itu. Sudah dikira mujur, dalam keadaan BN turun dengan segala kekuatan dan keupayaannya sebagai kerajaan Pusat dan negeri, PAS masih mampu mempertahankan deposit calonnya.

Setakat ini PAS dan rakan-rakan dalaman Pakatan Rakyat tidak menampakkan kesukaran menerima kekalahan 11 Oktober lalu. Apa yang lebih penting kini ialah untuk PAS dan Pakatan mengutip seberapa banyak iktibar dan pengalaman berguna dari episod tersebut.

Pelbagai pihak yang bersama PAS, sama ada dari kalangan pendokongnya mahu pun penyokong dan simpatisannya, sudah mula menyuarakan analisa dan pemerhatian masing-masing. Turut kedengaran dan terpapar di sana-sini pelbagai pengakuan dan luahan para pemimpin serta aktivis PAS sendiri mengenai prestasi parti mereka di Bagan Pinang.

Ada kesilapan dan kelemahan yang perlu diperbetulkan. Ada juga kekuatan dan peluang yang masih boleh dipertingkatkan. Berbekalkan kejujuran dan keikhlasan kepada perjuangan, selalunya tidak sukar untuk melihat kesediaan segenap peringkat organisasi PAS menerima teguran mahu pun kritikan. Parti itu selalunya tidak sukar memantapkan kembali jentera dan susunatur gerakerjanya di masa hadapan.

Sementara dalaman PAS kini sibuk meneliti pelbagai faktor yang dirasakan menyumbang kepada kegagalan parti itu mengekalkan prestasi Mac 2008, BN yang masih dibuai keseronokan pula belum dapat mencari faktor terbesar menyumbang kemenangannya. Mahu tidak mahu parti itu setakat ini terpaksa menerima hakikat bahawa faktor peribadi calonnya, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, jauh mengatasi faktor parti.

Ertinya tidak salah kesimpulan sebilangan pihak bahawa kejayaan BN di Bagan Pinang adalah kemenangan peribadi Isa. BN hanya menumpang nama dan populariti bekas Naib Presiden Umno yang dilucutkan kerana rasuah itu.

Apatah lagi sedari awal, bermula proses pemilihan calon sehingga akhir tempoh kempen, BN terlalu menonjolkan kekuatan peribadi calonnya. Segala kebaikan dan jasa baktinya selama ini diulang sebut. Isa digambarkan sebagai seorang legenda tempatan yang tidak ada tolok bandingnya.

Tidak cukup setakat itu, nostalgia penduduk bersama ayahandanya, Dato Abdul Samad Said, yang juga seorang bekas Adun di kawasan berdekatan, turut dihidupkan semula.

Tolak tepi faktor-faktor lain yang membantu kemenangan BN, sama ada taktik ancam-ugut, faktor undi pos, sogokan dan rasuah politik serta taburan pelbagai janji manis. Kesemua faktor tersebut tidak akan diiktiraf BN.

Lalu BN mengakui kemenangan Isa membuktikan pengaruh bekas Menteri Besar itu masih mencengkam dalam masyarakat. Tidak sukar diakui kekuatannya dalam organisasi Umno juga masih berakar-umbi.

Melihatkan penguasaannya ke atas Bahagian Teluk Kemang, Isa seolah-olah memiliki kuasa mutlak. Putih kata Isa, putih lah kata Umno bahagiannya. Sebagai bukti jelas, hanya nama Isa dijulang mereka sebagai calon tunggal bahagian walau pun Umno Pusat mengarahkan tiga nama diserahkan.

Ada pihak melihat kemenangan Isa minggu lalu menjadi isyarat kebangkitan semula beliau dalam politik, bukan sahaja di bahagiannya malah di seluruh negeri. Sebab itu belum pun beliau sempat mengangkat sumpah sebagai ahli Yang Berhormat, sudah kedengaran suara nakal cuba mengusik status quo kepimpinan negeri.

Kononnya akan berlaku rombakan kabinet negeri dalam masa terdekat bagi memberi laluan kepada Isa menyertai Exco. Logiknya, orang sehebat Isa, maka mungkin hanya kekal sebagai Adun biasa?

Namun kemunculan semula Isa mungkin tidak sekadar memperkuatkan BN. Perselisihan antara beliau dengan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hassan bukan lagi rahsia. Mampukah BN menghalangnya menjulang agenda peribadi?

Andaikan kehadiran Isa bakal memberi inspirasi kepada para pemimpin Umno yang selama ini menyembunyikan perasaan tidak sebulu dengan Mohamad. Isa mungkin dijadikan nukleas kepada usaha penentangan lebih berencana terhadap Mohamad.

Berbekalkan cengkaman pengaruhnya di seluruh negeri dan negara, serta mengambil kira nafsu politik para pemimpin Umno yang selalunya sukar diredakan, Isa berpotensi menjadikan keadaan semakin sulit dan kusut buat Umno, terutama di Negeri Sembilan.

Pertembungan antara beliau dengan Mohamad malah berkemungkinan mengulangi episod tegang dialami Umno Terengganu sejak hampir dua tahun lalu. Jika diperhalusi, pertembungan pengaruh peribadi antara Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said dengan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh, memiliki banyak persamaan dengan krisis Isa-Mohamad di Negeri Sembilan. Mungkinkah Negeri Sembilan jadi Terengganu kedua?

http://zabidi-morad.blogspot.com

Tiada ulasan: