"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

BN Perak tabur dakyah dan cuba balas dendam - Dr Khairuddin Dato' Malek / UBN Najib Altantuya / PKFZ

Penghujung Ramadan lalu, Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam Jamaie telah berkunjung ke Mesir untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada wakil HAMAS di Kahirah. Sempena lawatan ke Mesir itu juga, Timbalan Pesuruhjaya PAS, Dr. Khairudin Dato' Abdul Malek bersama rombongannya berkesempatan bertemu dengan pelajar Malaysia yang menuntut di sana. Terbongkar kisah kedatangan dua Adun lompat, Osman Jailu dan Jamaluddin Radzi bertemu para pelajar di sana. Ikuti wawancara Wartawan Harakah Perak, JOHARI JAAFAR bersama beliau.

Difahamkan pemergian Dr. bersama rombongan gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam Perak (Jamaie) ke Mesir bulan lalu untuk menyampaikan bantuan kepada rakyat Pelestin. Boleh ceritakan sedikit?

DR. KHAIRUDDIN DATO' ABDUL MALEK: Sebenarnya lawatan kami ke Mesir pada 8 hingga 15 September lalu untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan dalam bentuk kewangan kepada rakyat Palestin.
Selama enam bulan pihak kami telah berjaya mengumpulkan wang, hasil kutipan dari orang ramai bagi membantu rakyat Palestin menjelang Hari Raya Aidilfitri. Kita telah bertemu dengan wakil Hamas di Kahirah dan menyerahkan sumbangan tersebut.
Kita memang tidak dapat masuk ke Palestin kerana sekatan yang dikenakan oleh Kerajaan Mesir. Kita berasa kesal dengan tindakan Kerajaan Mesir yang keterlaluan mengadakan sekatan seumpama itu.
Sepatutnya di bulan yang mulia, bulan Ramadan dan kedatangan Syawal yang kian hampir Kerajaan Mesir menghulurkan bantuan dan pertolongan yang tinggi dengan membuka laluan ke Raffah bagi mempastikan bantuan kemanusiaan sampai.
Banyak kenderaan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) yang mengangkut bahan makanan tersekat di tengah jalan. Ini menyebabkan bantuan kemanusiaan itu tidak dapat dilakukan sepenuhnya. Kita menggesa gerakan Islam seluruh dunia memberikan tekanan diplomatik kepada Kerajaan Mesir agar negara itu berikan laluan bagi membolehkan bantuan kemanusiaan dapat sampai ke Raffah.

Apakah bentuk bantuan kemanusiaan dari Jamaie ini?

Sebenarnya ini adalah tahun kedua pihak Jamaie menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada umat Islam Palestin menerusi Hamas. InsyaAllah pada masa akan datang bantuan kewangan ini akan kita hulurkan lagi.

Difahamkan Jamaie ada mengadakan kunjungan dan berdailog dengan pelajar-pelajar di sana?

Pada kesempatan itu juga kita telah mengadakan beberapa siri dailog dan mengadakan jamuan berbuka puasa dengan Persatuan Kebajikan Anak Anak Perak dan Persatuan Melayu Mesir (PEMERAM) dan dengan pelajar pelajar di Mesir, iaitu di Kahiran dan Iskandariah.
Setiap kali kita mengadakan majlis iftar, tidak kurang 100 pelajar yang hadir. Ternyata para pelajar di sana mempunyai maklumat terkini apa yang berlaku di negara ini khususnya di Perak. Sebelum ini, sebulan yang lalu kita diberitahu Kerajaan BN Perak ada mengadakan lawatan ke Mesir, Jordan dan Syria yang diketuai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Mufti, Tan Sri Harussani Zakaria termasuk dua wakil rakyat Pakatan Rakyat yang melompat parti, Adun Behrang, Jamaludin Radzi dan Adun Changkat Jering, Osman Jailu dan peguam-peguam Umno.

Mengapa Osman Jailu dan Jamaludin dibawa bersama?

Inilah yang kita pertikaiankan. Osman dan Jamaludin bukan Exco Kerajaan Negeri dan bukan juga pegawai tinggi Kerajaan Perak. Kerajaan BN Perak telah menyalahgunakan wang rakyat.

Menyalahgunakan? Beramai yang dibawa dalam rombongan itu?

Kita difahamkan rombongan kerajaan negeri berjumlah 20 orang dengan tujuan untuk merasmikan bangunan baru kompleks pelajar-pelajar Perak. Kalau setakat hendak rasmikan bangunan itu memadai lima orang sahaja.
Sebenarnya rombongan tersebut bukannya untuk lawatan rasmi, tetapi ia lebih kepada untuk menyampaikan dakyah mempertahankan tindakan BN merampas kuasa di negeri ini.
Kami diberitahu oleh para pelajar di sana, sambutan yang diberikan agak dingin walaupun yang menyertai rombongan kerajaan negeri itu terdiri dari pegawai tinggi kerajaan.

Apa yang difokuskan oleh BN dalam pertemuan dengan para pelajar itu?

Kami diberitahu dalam pertemuan tersebut, hanya dua soalan dari para pelajar yang dijawab oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, peguam-peguam Umno dan Mufti Perak.
Rombongan kerajaan negeri itu juga lebih mempertahankan Melayu dengan hujah-hujah akal bukannya berlandaskan Al-Quran dan Hadith untuk berhadapan dengan para pelajar yang amat memahami Al-Quran dan Hadith.

Apa peranan Osman Jailu dan Jamaludin Radzi?

Percubaan untuk menonjolkan Osman Jailu dan Jamaludin Radzi gagal. Ini kerana para pelajar di sana khususnya di Kahirah tidak menerima dengan baik kehadiran dua Adun lompat tersebut. Tidak ada dialog antara para pelajar di Kahirah dengan Osman Jailu dan Jamaludin. Dialog cuma berlaku di Iskandariah. Ternyata di sini kehadiran dua Adun lompat itu merupakan satu pembaziran wang rakyat kerana mereka bukan orang penting dalam kerajaan.
Kita berpendapat dengan membawa dua wakil rakyat tersebut bertemu dengan para pelajar di Mesir, Jordan dan Syria, ianya menjadi contoh yang tidak baik kepada para pelajar. Ini kerana mereka berdua terlibat dengan tuduhan rasuah dan skandal seks. Lebih malang lagi Dato' Mufti terlibat sama dengan dua Adun yang telah dituduh dengan skandal rasuah dan skandal seks itu. Ini amat memalukan, Tan Sri Mufti Perak sanggup bersama dalam rombongan tersebut.

Tadi Dr. sebut peguam-peguam Umno turut sama?

Inilah yang kita persoalkan. Peguam-peguam Umno bukannya pegawai kerajaan. Jika hendak mengemukakan pandangan dari sudut perundangan, sewajarnya Penasihat Undang Undang Kerajaan Negeri atau timbalannya. Bukannya peguam-peguam Umno.
Ini jelas satu penyalahgunaan kuasa dan penyalahgunaan wang rakyat semata-mata untuk tujuan kepentingan Umno/BN di Perak.

Adakah para pelajar di sana termakan dengan dakyah BN ini?

Hasil pertemuan kami di sana, ternyata para pelajar tidak termakan dakyah yang dibawa oleh rombongan kerajaan negeri itu. Kita juga telah membawa amanah Dato' Seri Mohamad Nizar Jamaludin dalam bentuk tayangan multimedia. Ternyata mereka cukup berpuas hati dengan amanat Dato' Seri Nizar. Selain itu, kami juga telah menyampaikan bantuan kepada para pelajar di Mesir termasuk anak-anak Perak dan PEMERAM.

Ini bermakna mesej rombongan Kerajaan BN Perak gagal...

Pelajar-pelajar di sana memberi sambutan atas sifat menghormati rombongan daripada Kerajaan Negeri Perak dan mesej yang cuba dibawa oleh mereka jelas tidak diterima oleh para pelajar.
Menurut pelajar di sana, hujah yang disampaikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri dan rombongannya tidak dapat diterima oleh mereka.

Sejak mutakhir ini Kerajaan BN telah menunjukkan 'belang' sebenar mereka bermula dengan memecat ketua-ketua kampung, dan kini pegawai tinggi yang dilantik semasa Pakatan Rakyat menjadi mangsanya.

Ya. Bulan Ogos lalu pihak Kerajaan BN telah beri tekanan kepada Pengurus Besar Perbadanan Pertanian Negeri Perak (PPNP), Mohd Hatta Yazid meletakkan jawatan. Menurut pegawai-pegawai di PPNP, mereka tidak setuju dengan tindakan itu kerana berpendapat sepanjang lapan bulan pengurus besar berkenaan telah menunjukkan prestasi yang cukup baik.
Lagipun pengurus besar tersebut dilantik oleh Dato' Seri Nizar ketika Pakatan Rakyat mentadbir negeri ini. Beliau bukannya menggantikan sesiapa, tetapi beliau dilantik bagi mengisi kekosongan jawatan. Beliau bukannya orang politik tetapi dilantik oleh Nizar berdasarkan pengalamannya.
Alasannya, orang tersebut dilantik oleh Nizar atau oleh Pakatan Rakyat. Oleh kerana itu orang tersebut perlu diberhentikan atau didesak meletakkan jawatan tidak boleh diterima. Jika itu hujahnya, saya mencabar Dato' Zambry Abdul Kadir supaya memecat Dato' Bandar Ipoh kerana beliau telah dilantik oleh Pakatan Rakyat.
Sekarang ini, sudah ada usaha memberikan tekanan kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Dato' Sheikh Mohd Nor Mansur al-Hafiz meletakkan jawatan. Jawatan Pengarah JAIP mendapat restu dari Sultan Perak, kerana itu BN jangan mahu Sultan murka dengan tindakan itu.

Macam mana keutuhan Pakatan Rakyat Perak selepas tidak menjadi kerajaan lagi...

Tidak ada masalah dengan Pakatan Rakyat. Semua pihak memberikan kerjasama yang baik. Untuk itu satu konvensyen Pakatan Rakyat akan diadakan pada 31 Oktober ini di Ipoh. Kira kira 600 peserta akan hadir mewakili tiga parti.
Semua pimpinan Pakatan Rakyat peringkat nasional akan hadir, termasuk Tok Guru Nik Aziz Nik Mat dan Lim Guan Eng. Peserta akan memberikan pandangan mengenai pencapaian Pakatan Rakyat sepanjang 10 bulan memerintah negeri.
Di konvensyen ini juga akan dibincang mengenai manifessto pilihan raya sekiranya dalam masa terdekat ini akan berlaku pembubaran Dun.

-detikdaily.net-

Tiada ulasan: