"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pengalaman di Bagan Pinang / UBN Najib Altantuya / Zambry / PKFZ

Khalid Samad

Setelah berada di Bagan Pinang selama 5 hari, saya kembali ke Shah Alam pada 10 Oktober dan seterusnya menghadiri beberapa majlis Hari Raya, Walimah dan juga Deepavali. Pada keesokkan harinya saya bersama YB Yaakaob menganjurkan Majlis Hari Raya di Seksyen 9 dan kemudiannya bersama YB Rodziah menganjurkan majlis Hari Raya di Seksyen 16 pada hari yang sama. Pada malam itu jug telah diadakan ceramah di Seksyen 20.

Di antara 12 dan 13 Oktober pula, saya menghadiri perbahasan Sesi Bajet Kerajaan Negeri Selangor yang dianjurkan di Shah Alam Convention Centre. Pada 15 Oktober pula saya telah menghadiri Seminar SelCARE iaitu Konvensyen berhubung ‘Alternative and Renewable Energy’ dan seterusnya menghadiri pula bermacam-macam majlis Hari Raya dan Deepavali yang dianjurkan pada masa yang sama. Sempat juga memberi tazkirah dan khutbah di Masjid Seksyen 26, berceramah di Batu Kurau, Larut dan menghadiri sesi dialog di Kajang.

Oleh yang demikiaan, baru hari ini, hari kedua sidang Parlimen, saya berpeluang menulis sedikit. Semestinya isu terhangat yang masih belum saya sentuh adalah persoalan kekalahan PAS dan PR di Bagan Pinang. Secara ringkasnya pandangan saya begini.

Suasana Pilihan Raya di Bagan Pinang
Sampai ke Bagan Pinang saya dapat melihat kesemua dewan-dewan dihiasi bendera BN dan UMNO. Tiada peluang PAS menggunakan mana-mana dewan. Kebanyakan rumah-rumah persendirian yang berlaman besar saya difahamkan telah disewa terlebih dahulu oleh BN. Rumah-rumah ini dihiasi sepanduk dan bendera UMNO dan tiada peluang kami menyewa tempat untuk berceramah selain dari rumah-rumah ahli kami.

UMNO menggunakan segala kekuatan mereka untuk menyekat dan menyempitkan ruang bergerak PAS serta PR. Teringat saya akan suasana pilihan raya di bawah BN dahulu di Selangor. Dewan-dewan dimonopoli BN. Ceramah-ceramah parti lawan juga disekat. Begitulah suasananya di Bagan Pinang.

Dibandingkan pula dengan suasana pilihan raya kecil di Permatang Pasir, Pulau Pinang di mana PR memerintah. BN dibenarkan menganjur majlis berbuka puasa di Masjid-masjid dan sebagainya. Maka jauh sangat bezanya.

Beginilah cara rakyat dikongkong oleh UMNO/BN selama ini. Melalui kekuatan kewangan mereka dan salah guna kedudukan mereka sebagai kerajaan Negeri dan Pusat, rakyat dikuasai dan dihalang dari mendapat maklumat. Seperti biasa segala media arus perdana memberi laporan-laporan yang menyokong BN.

Budaya demokrasi, menghormati hak rakyat mendengar dan memilih, jelas tidak wujud dalam UMNO/BN. Dalam masa yang sama, budaya samseng pula disuburkan. Saya sendiri telah melihat tindak tanduk pemuda UMNO yang begitu agressif kerana mereka tahu mereka kebal undang-undang. Agaknya begini jugalah suasana Pilihan Raya di negeri Selangor sekiranya BN kembali memerintah Selangor.

BN memang terdesak untuk memenangi pilihan raya kecil ini dan mereka telah membelanjakan wang yang banyak, lebih banyak dari biasa, untuk menjamin kemenangan. Mereka menyedari Pilihan Raya kecil ini mereka mesti menang. Maka tidak hairanlah apa yang telah mereka lakukan untuk menjamin kemenangan.

Setelah mencapai kemenangan mereka juga sedar, ianya bukan satu kemenangan yang boleh mereka banggakan. Ianya tidak merupakan satu kemenangan yang menunjukkan rakyat telah kembali menyokong BN. Ianya hanya kemenangan tempatan hasil dari suasana tempatan yang dapat mereka kuasai melalui penyalahgunaan kuasa dan wang rakyat. Dengan suasana yang dikuasai mereka sepenuhnya, termasuk pengaruh tempatan calon mereka, mereka menang. Tetapi, ianya tidak mencerminkan suasana politik negara.

Kerjasama PR di Bagan Pinang
Saya melihat walaupun PR dikatakan menghadapi beberapa 'krisis dalaman', namun kerjasama di kalangan parti-parti PR semasa di Bagan Pinang tetap kukuh. DAP telah menyediakan pentas untuk pimpinan PAS berucap kepada pengundi Cina. PKR pula telah mengerahkan kekuatan yang ada, termasuk DSAI sendiri, untuk menyertai kempen dengan penuh semangat kerjasama dan kegigihan. Calon yang bertanding adalah dari PAS, namun DAP dan PKR berkempen dengan bersungguh-sungguh, demi mengharapkan satu lagi kemenangan.

Walaupun ceramah berjalan dan lawatan rumah ke rumah diadakan, hakikatnya 'medan pertempuran' dikuasai BN. Namun, kesungguhan rakan PR bekerja untuk calon PAS harus menjadi faktor memperkukuhkan lagi kerjasama PR.

Bagi yang masih mengidamkan 'penyatuan Melayu-Islam' harap diingatkan; yang menyerang markas Dewan Pemuda Pas dan membelasah pemuda-pemuda PAS
bukan pemuda DAP dan bukan Angkatan Muda PKR. Mereka Pemuda UMNO. Hakikatnya, sudah hampir 20 tahun di Kelantan, UMNO tetap menentang kita. Persoalan bangsa yang sama tidak menjadi penghalang bagi mereka walaupun mereka mendabik dada sebagai 'pejuang bangsa'. Persoalan 'agama sama' juga tidak menjadi penghalang, kerana selama ini mereka tidak juga mengikut ajarannya.

Sokongan Bukan Islam
Sokongan bukan Islam yang sangat diharapkan terbukti tidak diperolehi oleh calon PAS. Apa sebabnya terpulanglah pada masing-masing menafsirkannya. Apa yang jelas kemampuan PAS untuk mendapat undi bukan Islam dalam pilihan raya kecil kali ini untuk calonnya telah terbukti meleset. Adalah diharapkan ianya disebabkan faktor tempatan dan bukan kerana imej PAS sebagai parti yang memperjuangkan hak dan kepentingan semua kaum semakin terhakis. Sekiranya terhakis, maka amat penting kita mengenal pasti apa sebabnya dan menentukan cara-cara mengatasinya. Amat jelas, di Bagan Pinang, seperti di kebanyakan kawasan lain di negara kita ini, undi bukan Islam perlu untuk memenangkan calon PAS.

Melayu UMNO tidak akan berubah ke tahap mengundi selain dari UMNO kecuali setelah mereka memahami apa itu perjuangan Islam. Dan inilah cabaran kita, mengubah dunia politik Melayu Islam dari pemikiran kebangsaan Melayu kepada pemikiran Islam.

Kekalahan pada bulan Syawal
Ada yang mengatakan, pada bulan Ramadhan berlaku Perang Badr. Berlaku juga Permatang Pasir yang kita menang. Pada bulan Syawal berlaku pula Perang Uhud. Berlaku juga Bagan Pinang yang kita kalah. Namun kekalahan dan kemenangan tidak disebabkan 'bulan'. Rasulullah (SAW) kalah di Uhud kerana tentera pemanah meninggalkan kedudukan mereka. Tidak patuh pada arahan dan menganggap mereka boleh memutuskan sendiri tindakan yang perlu mereka laksanakan.

Bagi PAS, pendekatan yang telah diputuskan melalui Muktamar adalah “kukuhkan PR”. Adakah kekalahan dibantu oleh tindakan-tindakan yang menggambarkan PR tidak kukuh dan selalu bertelagah?

Begitu juga dengan dasar 'PAS untuk Semua'. Adakah kekalahan dibantu oleh tindakan-tindakan yang kelihatan bercanggah dengan dasar ini dan PAS kembali dilihat sebagai parti Melayu-Islam?

Kalau dipersetujui bahawa untuk menangani suasana politik dewasa ini, PR dan dasar 'PAS untuk semua' perlu dipertegaskan,
maka apa sahaja tindakan yang bercanggah dengan kedua-dua ini perlulah dihalang.

Perhimpunan Agung UMNO
Tidak berapa lama selepas PRK Bagan Pinang, saya melihat sambil tersenyum ucapan-ucapan yang menegaskan perlunya perubahan yang disampaikan oleh para pimpinan UMNO dalam perhimpunan agung mereka. Mereka seolah-olah lupa apa yang mereka lakukan di Bagan Pinang yang baru sahaja selesai seminggu yang lepas!

Kata mereka, pemimpin hendakkan yang bebas rasuah. Namun Isa Samad yang dijadikan calon. Kata mereka ingin membasmi rasuah. Namun, undi dibeli dengan begitu 'ganas'. Kata mereka lagi bahawa mereka hendak berubah, tetapi cara lama dalam semua aspek yang diamalkan dan dikekalkan hanya seminggu sebelumnya.

Bagi saya, segala ucapan yang menegaskan perlunya berubah, mengukuhkan lagi kedudukan PR. Ianya merupakan pengesahan bahawa parti UMNO/BN tidak baik dan banyak kelemahan. Mereka perlu berubah sehingga menjadi lebih seperti PR kerana PR jauh lebih baik dari mereka. Keinginan supaya kerajaan mempunyai ciri-ciri yang sediada pada PR oleh ahli UMNO/BN dan masyarakat awam akan hanya membantu PR pada jangka masa panjang.

UMNO/BN hanya mampu menyatakan keinginan untuk memilikki ciri-ciri tersebut tetapi semua tahu bahawa 'keinginan' ini adalah hasil dari perasaan
takut kalah. Bukan atas kesedaran dan keinsafan yang sebenarnya. Akhirnya masyarakat akan melihat bahawa budaya politik UMNO bercanggah dengan segala ciri-ciri positif yang diidamkan oleh masyarakat. Mereka akan sedar bahawa ciri-ciri sebegini bukan datangnya secara automatik atau dengan hanya menyatakan keinginan untuk memilikkinya. Ia datang hasil dari budaya ilmu dan amal yang diasuh berdasarkan wawasan politik yang menyeluruh. Yang jelas, UMNO/BN tidak memilikki kemampuan untuk bergerak ke arah itu. Hanyalah sekadar lip service. Dalam masa yang sama, rakyat akan dapat menilai bahawa PR melalui PAS, DAP dan PKR sahaja yang mempunyai kapasiti untuk bergerak ke arah tersebut.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD




Tiada ulasan: