Zefry Dahalan
SEREMBAN: Sebanyak 15 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dari Negeri Sembilan nekad untuk menghalang Himpunan Kebangkitan Rakyat dan Karnival Rakyat anjuran Pakatan Rakyat yang dijadualkan berlangsung esok bermula 4.00 petang hingga 12.00 tengah malam di Taman Seremban Jaya dekat sini.
Semalam lebih kurang 50 orang yang mewakili 15 NGO tersebut mengadakan bantahan di tapak program itu akan berlangsung sebagai tanda protes. Mereka turut mendesak pihak polis mengambil tindakan.
Pengerusi Gerakan Memartabatkan Pejuang Negara (GMPN) Malaysia, Mejar (B) Razali Zakaria berkata tujuan bantahan itu dibuat kerana mereka yakin program itu akan menimbulkan huru-hara.
“Penganjuran program ini adalah sebagai bahan politik mereka bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.
“Saya harap polis dapat bertindak segera dengan mengharamkan program daripada diadakan kerana dikhuatiri insiden perhimpunan Bersih akan berlaku di Negeri Sembilan.
“Kami barisan NGO telah membuat laporan polis pagi tadi (semalam) sebagai tanda bantahan.
Pertumpahan darah
“Jika polis tidak bertindak, jangan salahkan NGO jika kami bertindak pada hari program itu berlangsung dan kami tidak akan bertanggungjawab jika ada berlaku kemalangan atau pertumpahan darah,” tegasnya.
Pemangku Setiausaha Agong Gabungan NGO Malaysia, Mohd Arafat Muhammad berkata walaupun Akta Perhimpunan Aman 2012 menyebut sebarang perhimpunan tidak memerlukan permit, tetapi ia dikhuatiri akan menimbulkan kejadian tidak diingini.
“Jangan menyibuk dan kacau Negeri Sembilan, pergilah negeri sendiri. Kami telah sepakat jika program ini terus diadakan, kami akan menghalang dan membantah 100 peratus.
“Tiada apa yang perlu dibangkitkan oleh Pakatan Rakyat dengan menganjurkan program ini kerana negara berada dalam keadaan aman,” katanya.
Cabar polis dan berunsur ugutan
Berkaitan dengan bantahan tersebut, Pakatan Rakyat Negeri Sembilan hari ini membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Seremban.
Laporan polis itu dibuat oleh Setiausaha PKR Negeri Sembilan, Sabaruddin Mohd Yassim dan ditemani oleh Setiausaha DAP Negeri Sembilan, Cha Kee Chin dan Timbalan Pesuruhjaya 3 PAS Negeri Sembilan, Anuar Azhari.
Sabaruddin membuat laporan polis itu berdasarkan kepada kenyataan akhbar seorang individu bernama Mejar (B) Razali Zakaria bahawa:
‘Jika polis tidak bertindak, jangan salahkan NGO jika kami bertindak pada hari program itu berlangsung dan kami tidak akan bertanggungjawab jika ada berlaku kemalangan atau pertumpahan darah’.
“Kata-kata tersebut bukan sahaja mencabar polis, tetapi turut berunsur ugutan terhadap kami selaku penganjur dan orang awam yang dijangka akan hadir pada program Himpunan Kebangkitan Rakyat esok 3 November.
“Selain itu, mereka yang terbabit juga telah membuat pelbagai tuduhan liar dan fitnah terhadap Pakatan Rakyat tentang program kami.
“Kami berharap polis boleh bertindak segera terhadap mereka yang terbabit dalam mengeluarkan kenyataan ini, kerana ia berunsur ugutan dan mengganggu keamanan dan ketenteraman awam,” kata Sabaruddin.
50,000 bakal banjiri Seremban Jaya
Sementara itu Pakatan Rakyat mensasarkan sekurang-kurangnya 50,000 penyokong akan hadir pada program Himpunan Kebangkitan Rakyat tersebut.
Setiausaha PAS Negeri Sembilan, Mohd Hasan Tamby memberitahu FMT program akan dimulakan dengan Karnival Rakyat jam 4.00 petang dengan persembahan gendang India, kompang dan tarian singa.
“Selepas itu, kita akan adakan pidato anak muda dan wanita; diikuti dengan konsert rakyat oleh artis popular seperti Dayangku Intan, Aishah, Nizam Laksamana dan Indie Band.
“Turut berlangsung pameran kejayaan Kerajaan Negeri-Negeri Pakatan Rakyat seperti Selangor, Kelantan, Pulau Pinang dan Kedah. Program petang tamat pada pukul 6.30 petang.
“Himpunan Kebangkitan Rakyat pula bermula jam 8.30 malam dengan senarai penceramah ‘heavyweight’ Pakatan Rakyat, Penyerahan Memorandum Persefahaman Pakatan Rakyat Negeri Sembilan, deklamasi sajak oleh Sasterawan Negara A Samad Said, muzikal ‘Ubahlah
Sekarang’ dan Pelancaran Himpunan Kebangkitan Rakyat.
“Barisan penceramah pada malam esok ialah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.
“Saya mahu rakyat Negeri Sembilan menilai sendiri dengan akal logik apakah dengan intipati program seperti saya huraikan ini akan memberi kemudaratan kepada rakyat Negeri Sembilan?
“Program ini berlangsung dalam bentuk karnival. Saya yakin dengan publisiti dan kesedaran orang ramai, sasaran 50,000 hadirin akan dicapai terutama daripada pengundi atas pagar yang marah dengan tindakan pihak-pihak yang cuba menghalang program ini,” ujar Sabarudin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan