"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

IC Sabah: Tiada pilihan kecuali tumbangkan BN

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Pendedahan penglibatan pemimpin negara berhubung pengeluaran kad pengenalan sementara mengesahkan lagi prejudis rakyat bahawa Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bersekongkol membantu Umno BN dalam memenangkan mereka di setiap pilihan raya.

Demikian dinyatakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi (gambar) dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau mengulas pendedahan bekas pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah, Ramli Kamarudin serta beberapa individu yang pernah berkhidmat di JPN bahawa bekas pemimpin negara terlibat secara langsung dalam mengeluarkan kad pengenalan sementara (resit sementara) bagi membolehkan pendatang asing mengundi dalam pilihan raya merupakan sesuatu yang amat mengejutkan.

Mereka mendedahkan demikian di hadapan Suruhanjaya DiRaja (RCI) yang menyiasat mengenai pendatang haram yang diberikan kad pengenalan.

Antara pendedahan yang menggemparkan adalah bagaimana arahan langsung bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Megat Junid Megat Ayub serta Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin, bekas Setiausaha Politik Tun Dr Mahathir kepada pegawai JPN supaya mengeluarkan resit membenarkan pendatang haram di Sabah mengundi dalam pilihan raya negeri pada tahun 1994.

Didedahkan juga adalah bagaimana pengarah SPR Sabah ketika itu (1994), Wan Ahmad Wan Yusof telah memberi arahan kepada JPN Sabah untuk memberi kad pengenalan kepada pendatang asing untuk membolehkan golongan itu mengundi.

Seramai 16,000 nama untuk diklasifikasikan sebagai pengundi bumiputera Islam dalam suatu operasi yang digelar sebagai ‘Ops Durian Buruk’.


Ahmad Zamri berkata, dengan pendedahan beberapa individu terbabit membuktikan sememangnya SPR dengan kerjasama JPN memainkan peranan di belakang tabir dalam memberi kad pengenalan dan seterusnya membolehkan warga asing menjadi pengundi.

“Jika apa yang didedahkan tersebut berlaku di Sabah, tidak mustahil situasi yang sama berlaku di Semenanjung Malaysia,” ujarnya.

Baginya, pengakuan mereka mewujudkan suatu sikap bahawa SPR dan JPN sudah tidak boleh dipercayai sebagai agensi kerajaan yang bertanggungjawab terhadap negara.

Mereka itu, katanya diperkakas bukan untuk berkhidmat kepada negara, tetapi terhadap beberapa kerat pemimpin korup yang rosak akhlak.

Beliau menganggap pemimpin yang disebutkan atau mereka yang terlibat adalah pengkhianat negara dan wajar dihukum dengan hukuman yang setimpal.

“Hanya kerana bernafsu tinggi dalam politik, mereka sanggup menggadaikan maruah dan kedaulatan negara kepada warga asing,” katanya.

Malah, tambah beliau pemimpin tersebut sanggup memperalatkan pegawai kerajaan untuk berkhidmat untuk mereka dalam menjalankan kerja-kerja haram ini.

“Entah berapa tahun mereka ini telah menjalankan kerja haram ini dan entah berapa banyak pula parlimen atau negeri yang dimenangkan hanya melalui ‘pertolongan’ warga asing,” ujarnya lagi.

Justeru, tegasnya tidak ada jalan buat rakyat Malaysia melainkan kerajaan BN perlu ditumbangkan, baharulah semua kerja pembersihan dalam agensi kerajaan seperti SPR dan JPN dapat dilakukan.

“Jika tidak, selamanya rakyat Malaysia akan terus dibohongi oleh penguasa jahat melalui perancangan sulit mereka,” katanya.

1 ulasan:

sizzly7761 berkata...

Pegawai SPR dan JPN yang 'terlibat melakukan kerja jahat' dan memberi IC kepada wargasing inilah yang sewajarnya dipanggil 'anak haramjadah'kerana mengkhianati YDPA dan meletakkan keselamatan negara pada pendatang wargasing! Laknatlah kepada mana-mana pegawai SPR dan JPN yang menjalankan kerja jahat ini!