Zabidi Saidi
PETALING JAYA: Kenyataan terbaru Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein supaya mana-mana pemimpin yang ingin bertanding dalam pemilihan parti kali ini supaya tidak terlalu ghairah mengejar jawatan dan mengukur kemampuan mereka mengundang kontroversi.
Katanya, mana-mana pemimpin yang menawarkan diri bertanding dalam pemilihan Umno amat dialu-alukan tetapi tidak perlu terlalu ghairah untuk bertanding sehingga tidak melihat kemampuan diri sendiri.
“Jangan kerana ghairah sempena musim pemilihan, bila dipilih nanti, kita lupa tentang tanggungjawab dan amanah yang cukup berat,” katanya menjawab soalan pemberita mengenai kemungkinan ahli majlis tertinggi Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam turut bertanding jawatan Naib Presiden Umno.
Saya terkejut mendengar kenyataan Hishammuddin yang seolah-olah takut dengan Ali yang mungkin bertanding jawatan Naib Presiden Umno bersama Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Shafie Apdal dan Tan Sri Isa Samad.
Adakah Ali tidak layak bertanding jawatan Naib Presiden Umno kerana dia bukan lagi Ketua Menteri Melaka? Adakah beliau tidak layak dipilih ke jawatan tersebut kerana beliau sudah kalah pilihanraya?Adakah Ali tidak mengukur kemampuannya? Seolah-olah pada pandangan Hishammuddin, Ali tidak layak bertanding kerana beliau bukan menteri.
Apakah maksud Hishammuddin bila beliau berkata bila dipilih nanti, kita lupa tentang tanggungjawab dan amanah yang cukup berat? Adakah beliau menujukan kenyataan itu kepada Ali seolah-olah Ali lupa tanggungjawab sewaktu menjadi Naib Presiden Umno(2004-2009).
Ali menang bertanding kerusi itu pada tahun 2004 dengan Isa Samad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Pada tahun 2009, beliau bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno menentang Muhyiddin dan Tan Sri Muhammad Muhd. Taib, tetapi Ali tidak dibenarkan bertanding kerana kononnya terlibat dengan politik wang.
Maka kali ini beliau kembali bertanding kerusi Naib Presiden Umno walaupun beliau belum buat pengumuman rasmi. Tanpa jawatan dalam kerajaan beliau bebas bergerak ke seluruh negara dan ini yang menimbulkan ketakutan kepada Hishammuddin. Malah baru-baru ini beliau turut berada di majlis hari raya anjuran Umno Bahagian Kota Belud di Sabah.
Pemerhati politik percaya perwakilan Umno akan memilih Ali sebagai Naib Presiden kerana biasanya dalam tiga orang, seorang yang tiada jawatan dalam kerajaan akan diberi tempat juga sebagai Naib Presiden.
Pada tahun 1978, 1981 dan 1984, Tun Ghafar Baba yang tiada jawatan dalam kerajaan sering kali menang salah satu kerusi Naib Presiden Umno. Maka perwakilan Umno tidak ada masalah untuk memberi kemenangan kepada Ali yang bukan berada dalam kerajaan. (Beliau baru sahaja dilantik Pengerusi PUNB).
Ini yang menimbulkan ketakutan kepada Menteri Pertahanan yang gagal menawan perwakilan Umno sewaktu beliau menjadi Menteri Dalam Negeri. Beliau lebih dikenali sebagai menteri amaran ketika berada di KDN berbanding dengan Zahid yang lebih berani dan tegas sehingga dibenci oleh pemimpin parti pembangkang.
Jika Ali menang, satu kerusi perwakilan diberi kepada orang Sabah (Shafie Apdal), maka satu lagi kerusi Naib Presiden Umno yang kosong akan jadi rebutan antara Hishamuddin dengan Zahid. Ini yang membimbangkan Hishammuddin.
Ali sebagai bekas Presiden 4B dan Pengerusi Majlis Belia Malaysia (MBM) mempunyai akar umbi yang kuat. Datuk Idris Harun tidak dapat menandingi kehebatan Ali sebagai Ketua Menteri Melaka.
Kediaman rasmi Ketua Menteri Melaka pada jam 2 pagi masih terbuka kepada orang ramai ketika Ali menjadi Ketua Menteri yang tidak akan dialami lagi rakyat Melaka di zaman Idris sekarang. Ali seorang pemimpin yang rajin menerima undangan majlis kahwin orang ramai di Melaka dari pagi hingga ke malam semata-mata tidak mahu menghampakan tuan rumah.
Itulah kelebihan Ali yang mempunyai PR yang cemerlang yang tidak ada pada Hishammuddin. Inilah yang menjadi dilemma kepada Hishammuddin jika Ali bertanding.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan