"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Berbaju kurung ke pesta arak merdeka (Gambar)

HIDAYAH HAIROM
Berbaju kurung ke pesta arak merdeka
KUALA LUMPUR - Sambutan ambang merdeka yang sepatutnya berlangsung dengan penuh kesyukuran dicemari pesta minuman keras oleh pengunjung beragama Islam di sebuah kelab hiburan di Jalan Sultan Sulaiman, di sini.

Lebih memalukan apabila ia berlangsung dalam keadaan pengunjung wanita berpakaian baju kurung dan kebaya dipercayai sempena tema ‘rumah terbuka Aidilfitri’ anjuran kelab berkenaan.

Ketika serbuan dijalankan pihak penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), kira-kira jam 2 pagi itu, rata-rata pengunjung sedang asyik berhibur bersama ‘bintang-bintang’ ternama dalam kalangan pengunjung tetap kelab berkenaan, yang menyertai pertandingan karaoke di situ.

Pada awalnya, serbuan kira-kira jam 1.30 pagi itu berlangsung aman, bagaimanapun beberapa pengunjung gagal memberi kerjasama membuatkan pihak penguat kuasa Jawi terpaksa mengambil masa lebih dua jam sebelum dapat menyelesaikan ketegangan yang berlaku.

Beberapa petugas media juga menjadi ‘mangsa’ sasaran pengawal kelab yang bertindak mengarahkan semua rakaman dipadamkan sambil mengeluarkan kata-kata berbaur ugutan.

Ketua Penolong Pengarah Cawangan Operasi Jawi, Mohamad Rais Rasid berkata, dalam serbuan berkenaan, seramai 30 pengunjung yang disyaki meminum minuman keras, ditahan untuk siasatan lanjut manakala 20 lagi diberi notis perintah hadir kerana berkelakuan tidak sopan di tempat awam.

“Setiap tahun kita laksanakannya tetapi kali ini agak mencabar kerana membabitkan pengunjung yang terlalu ramai dalam kalangan Melayu Islam dan itu amat menyedihkan kerana tempat ini tidak sesuai untuk sambut merdeka. Ada hidang arak serta pencampuran lelaki dan perempuan,” katanya selepas operasi berkenaan.

Operasi bermula jam 12 tengah malam itu berakhir kira-kira jam 4 pagi melibatkan 71 anggota penguat kuasa Jawi dan juga polis.

Mohamad Rais berkata, siasatan turut dijalankan ke atas penjual arak yang mana jika sabit salah boleh membawa didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, dalam operasi sama, dua remaja berusia 20 tahun ditahan kerana berkhalwat hasil serbuan ke atas sebuah hotel bajet di Bandar Tasik Permaisuri, Cheras.

Pihak penguat kuasa Jawi terpaksa menunggu kira-kira empat minit sebelum pintu dibuka dan mendapati remaja perempuan itu cuba menyembunyikan diri dalam tandas bilik hotel dalam keadaan separuh bogel.

Kedua-duanya dibawa ke Jawi sebelum diikat jamin dan kes disiasat mengikut seksyen 27 kerana berkhalwat dan jika sabit salah denda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Tiada ulasan: