Ahmad Fadli KC
WAWANCARA Bertempat di lobi sebuah hotel, Dyana Sofya Mohd Daud bersiap sedia untuk diwawancara selepas seharian berkunjung ke rumah-rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri di sekitar Johor Bahru.
Mengenakan baju kurung merah hati dihiasi kerongsang berwarna keemasan, Dyana sebenarnya baru selesai memenuhi jemputan rumah terbuka mewakili majikannya, Anggota Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang.
Berasal dari Ipoh, beliau kini bertugas sepenuh masa di kawasan parlimen Gelang Patah sebagai setiausaha politik pemimpin veteran DAP itu selepas pilihan raya umum yang lalu.
Awal tahun 2012, graduan undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini mencuri tumpuan ramai apabila kemasukannya ke dalam DAP diumumkan Kit Siang sendiri pada satu sidang media khas.
Mengimbau kembali pengalamannya di UiTM, Dyana kini berpendirian satu institusi pengajian tinggi awam seperti UiTM perlu diwujudkan untuk orang bukan Melayu.
Dyana kesal melihat sebahagian rakan-rakan bukan Melayunya, baik yang mendapat keputusan peperiksaan cemerlang atau pun tidak, dinafikan peluang melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi awam.
"Golongan bukan Melayu perlu ada peluang sama seperti orang Melayu.
"Sebuah institusi pengajian tinggi yang menerima kemasukan golongan bukan Melayu dan pada masa yang sama mereka hanya perlu membayar yuran yang sama seperti yang kita bayar di UiTM," katanya dalam wawancara dengan Malaysiakini baru-baru ini.
'Emak saya masih Umno'
Beliau percaya sudah sampai masanya sistem pendidikan di Malaysia bergerak melangkaui garis perkauman dan diacu berasaskan keperluan.
Walaupun kini bergerak bersama DAP, Dyana sebenarnya datang daripada sebuah keluarga yang aktif di dalam Umno.
"Emak saya masih lagi ahli Umno sehingga sekarang. Beliau adalah setiausaha bahagian wanita yang pertama di Malaysia. Malah, bapa saudara-bapa saudara saya juga terlibat dalam politik (Umno).
"Mereka akan berbincang tentang politik sewaktu perjumpaan keluarga. Saya dengar cerita-cerita mereka dan saya membesar dengan cerita-cerita itu," katanya.
Ditanya tentang reaksi ibunya sewaktu beliau melahirkan hasrat menjadi ahli DAP, Dyana berkata ibunya bersikap memahami dan merestui pilihan beliau.
"Kata ibu kalau itu perkara yang kita percaya, lakukan sahaja kerana kadang-kala elok juga untuk kita melawan arus bagi membuat satu kenyataan," kata peguam muda itu yang mempunyai firma guaman di Cyberjaya.
Stigma curiga DAP
Walaupun percaya politik adalah satu wadah untuk berkhidmat kepada masyarakat, tanggungjawab Dyana di kawasan Gelang Patah tidak sunyi daripada cabaran menguruskan stigma sebahagian orang Melayu Johor yang masih curiga dengan DAP.
Beliau dan dua lagi staf pejabat anggota parlimen Gelang Patah pernah dihalau dari sebuah kampung awal Jun lalu walaupun mereka ke situ untuk mendapatkan butiran masalah penduduk setempat bagi pihak Kit Siang.
"Selepas menang, kami ada menerima panggilan dari penduduk sebuah kampung yang mahu mengadu masalah status tanah yang mereka duduki.
"Sampai di sana ketua kampung datang bertemu kami dan menarik tangan saya dan menyuruh saya balik. Dengan telunjuk betul-betul di depan muka saya dia kata: Kami ada menteri besar kami dan tak perlukan kamu," katanya.
Insiden seperti itu kata Dyana, tidak sama sekali akan menggentarkan semangatnya.
"Walaupun ada risikonya, saya tetap akan terus ke kampung-kampung Melayu ini kerana mereka perlukan saya. Saya akan rasa bersalah jika saya tidak pergi menemui mereka.
"Kesediaan mereka untuk memanggil kami ke sana juga satu kemajuan yang bagus. Sedikit demi sedikit mereka semua pastinya akan tampil ke hadapan untuk berbincang dengan kami," kata Dyana.
1 ulasan:
Tunjukkan kemampuanmu, jangan gentar kepada ugutan. Buktikan bahawa DAP juga mampu melakukannya. Setidak-tidaknya mereka akan menyedari bahawa itulah politik yang sebenar. Kefahaman politik Umno perlu dirombak. Sebagai anak muda anda adalah duta perubahan. Jangan peduli sekalipun yang ada di depanmu mengacukan penumbuk. Teruskan!
Catat Ulasan