"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Alangkah bertuahnya kalau saya jadi rakyat Brunei

Subky Latif

Allah jadikan tahun ini 1 Rejab serentak dengan 1 Mei. Bertuah bagi sekalian rakyat dan penduduk Brunei Darussalam kerana Kod Syariah mula dikuatkuasakan hari itu.Pelaksanaannya adalah secara berperingkat-peringkat tetapi tuahnya mulai dinikmati serentak.

Alangkah nikmatnya jika saya dapat menjadi penduduk Brunei. Mulai 1 Mei itu ibadat saya berganda pahalanya. Solat lima waktu sudah tidak sama dengan solat sebelumnya. Macam orang solat solo, pahalanya tidak sama dengan solat berjemaah.

Pahala solat berjemaah 27 lebih pahalanya daripada solat solo. Ia solat dalam negara yang tidak mengamalkan perundangan Islam.
Belum pun nikmat keamanan dirasai dan jenayah terbendung, tanpa disedari pahala solatnya sudah berganda. Bila ada pula solat sunat, zikir, bersedakah dan apa juga ibadat, maka tidak muat bujam pahalanya.

Belum buat apa yang lain sekadar senyum saja kepada orang yang ditemui pada pagi itu sudah berpahala banyak kerana senyum itu pada sesama orang Islam adalah sedekah. Setiap sedekah ada pahala.

Brunei sudahlah kaya, mungkin masih ada lagi rakyat yang miskin, moga-moga selepas 1 Mei ini mulai minima yang miskin wang ringgit, tetapi semuanya kaya dengan pahala. Percayalah negara itu sedang menuju kehidupan yang makmur dan bahagia di dunia dan akhirat.

Bukan kesultanan tiada cabaran untuk melaksanakan hudud, ia dikritik keras oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

PBB adalah badan penyelaras keamanan dan keselamatan dunia, patutnya ia penal Syariah, mungkin tidak untuk melaksanakan tindakan mengikut Islam tetapi untuk mendapatkan nasihat apa baiknya jika suatu masyarakat itu melaksanakan Islam.

Dengan adanya penal Syariah itu PBB lagi menjadi pengecam kepada umat Islam untuk hak asasi dan hak kebebasan beragamanya.

Tindakan PBB itu menjadikan ia suara Yahudi dan Nasrani.

Syukur Brunei beroleh seorang sultan atau ulil amri yang tegas dan berani. Baginda berasa terpanggil dengan segala nikmat yang Allah anugerah kepada negara, rakyat dan baginda, melaksanakan perintah Allah, melaksanakan aturan dan peraturan Islam dalam pentadbiran dan pemerintahan.

Tentu ia juga akan ada masalah, kerumitan dan kekurangan dalam pelaksanaan perundangan itu. Semoga ahli-ahli ilmu Islam di seluruh dunia khususnya jiran-jirannya di Asia Tenggara dapat membantu dengan khidmat nasihat dan lain-lain.

Ada negara mahu dan mengaku menjadi negara Islam contoh, tetapi Brunei mulai ke depan bagi menjadi contoh kepada yang lain.

Ia tetap memerlukan bantuan, terutama negara-negara OIC, termasuk PBB dan rakan-rakannya di seluruh dunia bagi menjamin kelicinan pelaksanaan.

Secara diplomasinya Brunei tetap memerlukan jaminan dan bantuan sesama manusia, tetapi percayalah, dengan kepercayaan kepada bantuan Allah, Allah pelihara negara itu.

Kalau saya tidak boleh jadi rakyat Brunei, mungkin saya boleh jadi penduduk tetap bagi menumpang nikmat dan anugerah Allah atas pelaksanaan peraturan Islamnya.

Jika saya tidak boleh nikmat menjadi penduduknya, maka saya masih terbuka untuk apa yang jiran Brunei boleh dapat daripada nikmat sebagai “daulah Darussalam” atau negara bayangan syurga di dunia.

Sudah tentu nikmat Brunei itu akan dapat dirasa juga oleh jiran-jirannya baik negara Islam mahu pun negara sekular lain, baik oleh umat Islam dan bukan Islam di negara-negara jirannya.

Brunei tidak gopoh membuat perisyiharannya. Ia tentu sudah belajar dari Indonesia yang memberi otonomi kepada Aceh melaksanakan Syariah. Ia sudah belajar daripada umat Islam Mindanau bagaimana Bansamuro sebelum diberi otonomi melaksanakan syariat di bawah MILF, dan ia juga belajar enakmen yang diluluskan di Kelantan dan Terengganu tentang perundangan itu.

Dengan menghalusi semua perkembangan itu Brunei yakin kepada Allah, memasyhurkannya pada 1 Rejab dan 1 Mei. Malaysia bolehlah menghalusi pelaksanaan di Brunei itu supaya Kelantan nanti tidak banyak menghadapi masalah.

Tiada ulasan: