"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Spekulasi MB T'ganu: Razif berada Putrajaya jumpa Najib

MUHAMMAD FAIZAL 

KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman (gambar) yang digembar-gemburkan bakal menggantikan Datuk Seri Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu dilihat berada di Putrajaya hari ini.

Menurut laman web BNBBC, Abdul Razif bergegas ke Putrajaya sejurus selesai mesyuarat exco petang semalam.

Beliau juga dikatakan turut membatalkan kehadiran pada majlis penyerahan jersi kejohanan bola sepak Adun Seberang Takir di Dataran Permata, Kampung Baru Seberang Takir malam tadi secara tiba-tiba kerana terpaksa ke Kuala Lumpur.

Laporan akhbar berbahasa Inggeris turut menguatkan andaian bahawa Abdul Razif bakal menggantikan Ahmad yang baru sahaja meraikan kejayaan setahun Barisan Nasional di Terengganu selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Akhbar itu turut melaporkan Abdul Razif yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sains dan Teknologi, Tenaga, Teknologi Hijau Dan Air negeri diminta berada di Kuala Lumpur dan bersiap sedia untuk menerima surat pelantikan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Isu penggantian jawatan Menteri Besar timbul apabila Ahmad dikatakan ada menandatangani surat persetujuan bahawa beliau akan memegang jawatan itu hanya setahun selepas BN menang tipis dalam PRU13 lalu.

Surat dua perenggan itu dikatakan ditandatangani Ahmad kira-kira dua minggu selepas PRU13 lalu.

Turut difahamkan, pertukaran Menteri Besar itu bakal dibuat pada 15 Mei seperti mana yang diperkatakan ramai pihak sebelum ini.

Pada PRU13 lalu, BN memenangi 17 kerusi Dewan Undangan Negeri manakala 15 kerusi lagi dimenangi Pakatan Rakyat. 

Tiada ulasan: