"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

4 bulan kemudian, kaki saya dirantai - mangsa culik

KOTA KINABALU: Pengalaman ditahan lebih 170 hari oleh sekumpulan penculik dari selatan Filipina, tidak mematahkan semangat seorang pengusaha ikan dalam sangkar untuk meneruskan perniagaan dan kehidupan di Kampung Sapang Air, Kunak, dekat sini.
Menceritakan detik-detik pahit itu, Chan Sai Chiun, 32, yang dibebaskan pada 10 Dis lepas, berkata isteri dan keluarga sentiasa menjadi pembakar semangat kepadanya untuk meneruskan kehidupan supaya dapat kembali ke pangkuan mereka.

"Setiap jam ibarat sebulan tetapi saya cuba meneruskan kehidupan supaya dapat kembali ke Malaysia. Saya akan meneruskan perniagaan di Kunak, mungkin saya ke ladang awal pagi dan pulang sebelum malam," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam kejadian 12.40 tengah malam 16 Jun lepas, Chan dan seorang pekerja yang hanya dikenali sebagai Mazlan berumur lingkungan 20-an, diculik dua lelaki bersenjata di pusat ternakan ikan di kampung berkenaan.

Chan yang ditemani isterinya, Chin Pek Nyen, 42, kedua-duanya berasal dari Ipoh, Perak, bersyukur dapat kembali ke tanah air dan menyifatkan sepanjang ditahan seperti 'sebuah perjalanan' kerana sering berpindah.

Beliau berkata dia sentiasa dijaga dengan baik, tidak diseksa mahu pun dipukul sepanjang ditahan di sebuah perkampungan pulau pada dua bulan pertama sebelum dipindahkan di sebuah pondok di hutan sehingga dibebaskan.

"Dalam tempoh dua bulan pertama ditahan, saya bebas berjalan dalam kawalan di sebuah perkampungan di pulau, kemudian di hutan. Semasa di pulau, saya tiada peluang melarikan diri kerana tiada peta serta petunjuk dan empat bulan kemudian, kaki saya dirantai.

"Tetapi, saya diberi makan kadang-kala ubi kayu dan biasanya nasi dan ikan," kata Chan yang turun berat badan 20kg berbanding 90kg sebelum diculik.

Sambil berbangga dengan usaha isterinya, Chan berkata dia dibebaskan tanpa dimaklumkan mengenai sebarang tebusan malah tidak mahu mengambil peduli soal itu kerana terlalu gembira serta tidak mengalami trauma atau diganggu mimpi ngeri.

Menceritakan saat-saat dibebaskan, Chan berkata beliau tidak mengetahui untuk dibebaskan pada hari berkenaan sehingga disambut oleh anggota polis sejurus tiba di Sandakan dan menemui isteri tersayang.

"Pada malam itu, (hari dibebaskan), tengah malam hujan lebat semasa di pondok, saya baring seperti biasa kerana tidak dapat tidur. Tiba-tiba tiga orang masuk dan menyuruh saya mengikut mereka. Saya dibawa menaiki bot laju selepas kira-kira sejam berjalan dan ada dua polis mengawal sehingga tiba di Sandakan pada awal pagi," katanya.

Mengenai kumpulan penculik berkenaan, Chan berkata beliau sentiasa dikurung keseorangan dan dikelilingi 10 anggota bersenjata yang kebanyakannya bertopeng dan menggunakan nama samaran.

Sementara itu, Chan dan isteri mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta polis yang banyak membantu sepanjang beliau ditahan dan dibebaskan.

Sementara itu, Chin yang sentiasa tersenyum melahirkan rasa gembira melihat suami kembali ke pangkuannya dan meneruskan kehidupan bahagia bersama.

Seorang anggota polis marin Konstabel Zakia Aliep masih ditahan sekumpulan penceroboh di sebuah pusat peranginan di Pulau Mabul, Semporna sejak 12 Julai lepas.

Zakia menjadi mangsa culik keempat selepas insiden penculikan di Singamata Adventures Reef and Resort di Semporna, Pulau Baik, Lahad Datu dan di Kampung Sapang, barat Pulau Timbun Mata, Kunak. 
-Bernama-

Tiada ulasan: