SUBKY LATIF
APAKAH undang-undang Islam yang ada di Malaysia sekarang dan mahkamahnya yang hendak disetarafkan dengan mahkamah sivil seperti yang disyariatkan kepada umat Nabi Musa, Nabi Isa al-Masih dan Nabi SAW, tiada siapa yang sedia mengiyakan.
Pabila hudud tidak terlaksana, maka ada asas bagi Ratna Osman, pembesar SIS unuk mengatakan undang-undang syariah yang ada bukan undang-undang langit (divine).
Jika undang-undang langit yang sumbernya daripada al-Quran dan Sunnah yang ditakwil Ratna Osman dan SIS-nya serta 25 Melayu bestari, maka binasanya akidah mereka. Sunni tidak, Syiah pun tidak.
Apa lagilah kalau sekadar mengira perlembagaan mana-mana negara selain daripada piagam Madinah lebih utama daripada undang-undang Islam. Justeru kita dikehendaki seadanya setia pada perlembagaan negara, jangan pula sampai merendahkan peraturan yang Allah dan Rasul-Nya tetapkan.
Adapun undang-undang syariah yang ada tidak semestinya tidak Islam langsung semata-mata kerana ia dirumuskan oleh manusia yang antaranya ulama dan pakar perundangan Islam.
Ketika sahabat hendak berhijrah ke Habsyah, Rasulullah SAW bertanya Muaz bin Jabar, dengan apakah dia hendak berhukum jika tiada sumber Quran? Kata Muaz, dengan Sunnah. Jika tidak dalam Quran dan Sunnah bagaimana? Jawabnya, berijtihad. Baginda merestuinya. Ertinya, orang yang layak boleh berijtihad dalam perkara yang tidak ada nas yang nyata.
Siapa yang boleh mentakwil undang-undang syariah yang ada? Ialah orang-orang pakar al-Quran dan hadis dan pakar perundangan. Dan mereka diketahui gurunya. Guru itu adalah dari gurunya, dari gurunya hinggalah sampai kepada Nabi Muhamad SAW, Jibril dan Allah SWT.
Jika Ratna mahu mempertikainya, mesti diketahui gurunya dan mesti jelas bidang ilmunya. Jika bukan doktor bercakap tentang kedoktoran, jadilah dia doktor buruk seperti loyar buruk bercakap tentang undang-undang. Jika orang tak tahu undang-undang hendak tahu undang-undang mestilah bertanya pada peguam dan hakim. Orang tak tahu perubatan mesti bertanya doktor tentang penyakit.
Jika Ratna mahu bercakap tentang undang-undang syariah dan divine, dia mesti mengaji dulu beberapa tahun daripada guru-guru pusat pengajian Islam yang diiktiraf. Demikian juga dengan Dr. Mahathir dan Kassim Ahmad yang hendak bercakap tentang hadis mestilah berguru dengan imam yang muktabar.
Orientalis Snouk Hurgronje hendak tahu Islam sedalam-dalamnya telah belajar di Mekah dan Madinah sebelum dihantar ke Alam Melayu.
Ratna dan rakan-rakan apabila hendak berguru jangan berguru pada orientalis yang ramai lebih mahir Islam daripada setengah ulama, tetapi mengaji mereka itu bukan justeru beriman tetapi bagi memusnahkan orang beriman.
Jika para pakar yang hendak mendaulatkan peraturan syariah itu dikira mahu campur perundangan divine, jangan sampai terkata Nabi Muhammad SAW pun sama. Orang yang memperaturkan syariat itu demikian dan demikian ialah baginda. Baginda dipantau oleh Jibril dan dipandu Allah SWT.
Jika mereka yang hendak mendaulatkan syariah dan mahkamah dikatakan campur tangan dan mereka-reka undang-undang itu, apakah Ratna juga terlepas daripada mereka-reka dan campur tangan dalam bidang yang dia tidak tahu?
Ratna mengaku ada undang-undang langit, tetapi mengira udang-undang di bumi adalah perlembagaan. Jika dia tidak takwil Allah dan Rasulnya, tetapi tidak yakin dengan saranan dan tafsir ulama muktabar, maka belum mendapat pencerahan.
Apabila mati nanti siapa hendak mengimamkan? Sekurang-kurangnya Sukarno diimamkan oleh Hamka, Hafiz al-Asad diimamkan oleh Said Ramadan al-Bouti. Ratna? Imam Amina Wadud?
Tiada pilihan bagi Ratna melainkan belajarlah beberapa tahun daripada guru-guru yang diakui di institusi pengajian tinggi Islam yang diakui.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan