"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Banjir: Operasi perpindahan menyayat hati (Gambar)

Mayat Yasin yang ditutup dengan tikar dan dipangku oleh anaknya, Ghani (memegang payung) ketika dibawa menaiki trak JPAM untuk ke Hospital Tumpat.
Mayat Yasin yang ditutup dengan tikar dan dipangku oleh anaknya, Ghani (memegang payung) ketika dibawa menaiki trak JPAM untuk ke Hospital Tumpat.
TUMPAT – Operasi pemindahan mangsa banjir di sekitar daerah ini diselubungi peristiwa menyayat hati apabila seorang warga emas menemui ajal dalam usaha pasukan keselamatan memindahkannya ke tempat selamat.

Peristiwa berkenaan berlaku pada jam 8.30 pagi semalam, selepas rumah mangsa, Yasin Salleh di Kampung Besut, di sini, dilanda banjir dan dia disahkan meninggal dunia akibat serangan penyakit asma.

Anak mangsa, Rozita memberitahu, ayahnya diserang asma secara tiba-tiba ketika dipapah masuk ke dalam bot penyelamat yang menunggu di halaman rumah mereka.

"Ayah sesak nafas secara tiba-tiba ketika itu dan bot penyelamat terus bergerak untuk membawanya ke tempat selamat.

"Bagaimanapun, kami terpaksa reda dengan ketentuan ALLAH SWT, apabila ayah menghembuskan nafas terakhirnya di sisi keluarga dalam bot berkenaan," katanya.

Akibat jalan perhubungan darat terputus, maka bot terpaksa digunakan untuk membawa keluar mayat mangsa sebelum dibawa menaiki trak Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Tumpat.

Ketua Operasi Menyelamat JPAM Tumpat, Lans Koperal (Pertahanan Awam) Mohd Razman Mohd Nor memaklumkan, laluan ke rumah warga emas itu ditenggelami air sedalam satu meter.

"Trak JPAM menunggu mayat yang dibawa oleh pasukan penyelamat menaiki bot di cabang Kampung Besut. Trak JPAM tidak dapat masuk sehingga ke rumah mangsa kerana terhalang oleh ketinggian paras air," katanya.

Mayat mangsa kemudiannya di hantar ke Hospital Tumpat sebelum dituntut oleh keluarganya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kelaboran.
-sinarharian-

Tiada ulasan: